BELIAU terlantar di katil, tanpa upaya untuk bergerak dengan segala keperluannya pula perlu dibantu oleh orang lain.
Namun, ketidak upayaan itu tidak menjadi hambatan buat mantan penyiar dan personaliti setempat, Riz Sunawan, untuk terus menghulur bakti.
Riz, atau nama sebenarnya Asri Sunawan, 42 tahun, yang menghidapi penyakit saraf motor neuron (MND) atau lebih dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS), telah menubuhkan Persatuan MND Singapura.
Menceritakan pembentukan persatuan tersebut - yang telah dibentuk di hampir 50 negara - Riz berkata ia merupakan hasil kerja keras para pesakit MND yang lain, para sukarelawan dan pekerja sosial dari Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
"Jadi kami harap persatuan ini menjadi satu rujukan kepada pesakit dan juga anggota keluarga mereka," ujar beliau, yang membuat penampilan dalam program Live Berita Harian menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Dalam rancangan yang disiarkan di Facebook dan YouTube Berita Harian Singapura malam kelmarin, Riz turut memberi perkembangan terkini keadaannya.
Beliau baru sahaja menjalani pembedahan pembedahan trakeostomi untuk membantunya bernafas.
Penyakit MND tiada penawar. Sebaliknya, penyakit saraf itu begitu traumatik dengan setiap sendi tubuh secara perlahan-lahan berhenti berfungsi.
"Banyak beza dan perubahan pada diri saya. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan tracheostomy di mana saya bergantung pada alat pernafasan untuk bernafas selepas pembedahan ini.
Jadi banyak menyesuaikan diri dan terus mengisi ruang dengan pelbagai kegiatan," ujarnya.
Beliau sempat berkirim salam dan menyampaikan penghargaannya kepada pembaca dan penonton BH.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua khususnya pembaca dan penonton Berita Harian yang banyak menyokong saya. Tanpa sokongan dan doa anda, tidak mungkin saya dapat bertahan sehingga hari ini.
"Ribuan terima kasih dan harapan saya supaya kita semua cekalkan dan kuatkan semangat dalam masa-masa sukar ini. Jangan lupa untuk membantu mereka yang memerlukan dalam keadaan yang kekurangan," ujarnya.
Wawancara dengan Riz dan rancangan Live sempena Hari Raya itu masih boleh ditonton di Facebook dan YouTube Berita Harian Singapura.
Imbas kod QR untuk saksikan lagi FB Live Hari Raya (dengan) Selamat!