SEORANG wanita tua yang menendang kepala seorang pembantu rumah dihukum penjara seminggu pada Isnin (23 Mei).
Pembantu rumah Myanmar itu, Cik Nwe Ni Hlaing, telah bekerja beberapa hari apabila majikannya memutuskan menghantar beliau ke agensi pembantu rumah semula.
Sebelum meninggalkan rumah majikannya pada 1 Julai 2014, Cik Nwe, 30 tahun, pergi kepada ibu majikannya, Li Guizhen, 64 tahun, yang berasal dari China, untuk memohon maaf atas sebarang kesilapan semasa bekerja.
Beliau melutut di depan Li, yang melawat keluarga anaknya itu di Jurong West di bawah pas lawatan jangka panjang yang membolehkannya datang ke Singapura beberapa kali.
Bagaimanapun Li, yang berdiri di depan Cik Nwe, mengayunkan lututnya hingga memukul kuat dagu mangsa.
Li mengaku salah mencederakan pembantu rumah itu. Dia turut menghadapi dua tuduhan, melakukan perbuatan gopoh dan kekerasan jenayah, yang diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Pusat Pergigian Hospital Universiti Nasional (NUH) mendapati bibir Cik Nwe bengkak dan gigi depan beliau goyah.
Meminta Li dihukum penjara seminggu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Stephanie Koh berkata dia melakukan serangan itu tanpa provokasi sama sekali.
Peguam bela, Encik Leon Koh Weijin, berkata Li membayar pampasan $6,000 kepada mangsa bagi kehilangan pendapatan dan pembedahan.
Beliau berkata Li melakukan kesalahan itu mengikut gerak hati dan kerana kecewa dengan tindakan pembantu rumah itu yang dianggapnya tidak wajar.
Encik Leon berkata Li menyuruh Cik Nwe bangun, tetapi beliau, yang bercakap bahasa Inggeris, tidak faham kerana Li bercakap dalam bahasa Mandarin.
Peguam itu berkata Li menganggap perbuatan melutut hanya bagi menyembah tuhan atau nenek moyang.