Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wanita dilantik terajui Mesra

Amatul Jameel Suhani Sujari ganti Omar Ismail bagi penggal ke-15
Jul 10, 2019 | 05:30 AM



BUAT julung-julung kalinya, Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) telah melantik seorang wanita - Cik Amatul Jameel Suhani Sujari - sebagai pengerusinya dalam satu majlis semalam.



Cik Suhani menggantikan Encik Omar Ismail, 67 tahun, bagi penggal ke-15 Mesra.



Guru sekolah sepenuh masa berusia 50 tahun itu sudah terlibat dalam kerja akar umbi selama lebih 20 tahun.



Ibu empat anak berusia antara antara 16 dengan 28 tahun itu juga merupakan naib pengerusi Majlis Jawatankuasa Penduduk, ahli majlis daerah Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Mountbatten.



Cik Suhani berkata, beliau berasa rendah hati dan menghargai pelantikannya sebagai pengerusi, sambil menambah bahawa ia satu tanggungjawab yang besar.



"Harapan saya adalah supaya Mesra akan dapat memenuhi matlamat atau memainkan peranan setanding dengan yang dilakukan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Mendaki.



"Mesra telah banyak melakukan program. Ini satu cara untuk memperkemas usaha masing-masing untuk saling melengkapi satu sama lain dan bukan bertanding. Ideanya adalah untuk bekerjasama.



"Satu lagi aspirasi saya adalah untuk melihat lebih ramai belia terlibat dalam kegiatan masyarakat. Saya rasa ini sesuatu yang penting dan adalah baik untuk melihat ramai belia yang mempunyai inisiatif dan idea sendiri," kata beliau.



Suaminya juga seorang guru, berusia 54 tahun dan merupakan ahli Jawatankuasa Penduduk (RC) Dakota, di Mountbatten.



Selaku pengerusi Mesra, Cik Suhani mengongsi bahawa rancangannya adalah untuk terus membantu membina masyarakat yang inklusif, menyemarakkan lagi budaya Melayu, menggalak gaya hidup sihat dalam masyarakat, menggalak kewarganegaraan aktif, dan memperkasa kepimpinan belia Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).



Seramai 27 aktivis akar umbi menerima surat pelantikan mereka daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa majlis pelantikan penggal ke-15 Mesra di Wisma Geylang Serai semalam.



Anggota majlis jawatankuasa itu akan berkhidmat selama tiga tahun hingga 31 Mac 2022.



Encik Masagos dalam ucapannya di majlis itu semalam berkata, beliau yakin Mesra di bawah kepimpinan Cik Suhani akan terus berkembang dan menjadi satu aset yang berharga buat masyarakat.



Beliau menambah Mesra telah membuat banyak sumbangan kepada masyarakat Melayu khususnya dan Singapura amnya dalam menggalak persefahaman dan keharmonian kaum dan agama.



"Sebagai salah satu agensi M3, Mesra adalah tunggak penting untuk menyatukan masyarakat dan mengukuhkan perpaduan sosial.



"Untuk memastikan Mesra dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, ia harus terus meneroka cara-cara inovatif dalam melakarkan program dan mempertingkatkan keupayaan anggota Mesra dan MAEC," kata beliau.



Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam.



Sementara itu, Encik Muhammad Fauzi Saini, 35 tahun, pula dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kecil Belia Mesra.



Beliau yang mengurus kedai makan dan khidmat katering bersama ibu bapanya berkata, antara rancangan mereka adalah untuk mempertingkat pendekatan bagi segmen belia yang berbeza menerusi wadah media sosial yang sering digunakan golongan tersebut.



Mereka juga ingin bekerjasama dengan kumpulan pelajar daripada institut pengajian tinggi yang berlainan, termasuk maktab rendah, politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), dan universiti, untuk menyokong projek dan program mereka.



Encik Fauzi yang masih bujang, berharap anggota Jawatankuasa Kecil Belia Mesra itu dapat melahirkan kreativiti mereka dengan bebas.



"Saya mahu memberi sokongan kepada mereka dalam apa jua kerja masyarakat yang ingin mereka lakukan dan menyediakan platform yang sebaik mungkin," kata beliau.



Encik Omar, yang kini penaung kepada Mesra, berharap pasukan baru Mesra itu akan meneruskan perjuangan mendekati dan menyokong masyarakat.



"Jangan putus asa dan terus berganding bahu bersama untuk menjadi satu pasukan yang kuat. Saya yakin pasukan baru ini boleh bergerak jauh ke depan lagi," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >