Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wanita kongsi pengalaman hitam didera secara seksual

Buku berjudul 'The Years of Forgetting' diharap dapat pupuk kesedaran tentang isu penderaan kanak-kanak
May 16, 2021 | 05:30 AM



BELIAU hanya berusia sekitar lapan atau sembilan tahun apabila didera secara seksual oleh datuknya sendiri, dan penderaan itu berlaku hingga beliau mencapai usia awal remaja.



Selama bertahun, beliau menderita dalam kesepian dan ketakutan untuk memberitahu sesiapa. Beliau hanya mendedahkan rahsia itu kepada ibunya apabila beliau berusia 30-an tahun.



Kini pada usia 40-an tahun, beliau merupakan seorang pegawai perkhidmatan awam yang juga giat memperjuang hak kanak-kanak dan wanita, dan tampil mengongsi kisahnya.



Menggunakan nama pena Sofia Abdullah, beliau menulis tentang episod hitam dalam kehidupannya itu dalam buku bahasa Inggeris bertajuk The Years of Forgetting, yang diterbitkan baru-baru ini.



Beliau berharap buku itu dapat memupuk kesedaran tentang isu penderaan kanak-kanak serta membantu mangsa lain yang pernah menghadapi kesengsaraan sama.



Cik Sofia memberitahu Berita Harian, proses menulis buku itu merupakan satu proses yang sukar bagi beliau, tetapi menyediakan satu peluang baginya untuk meluahkan apa yang telah dipendamnya selama ini.



"Dalam usaha saya membantu mangsa lain, saya sedar bahawa proses bercerita itu satu wadah yang sangat berkesan.



"Itulah yang mendorong saya untuk menulis kisah saya. Sejujurnya saya tidak sedar betapa sukarnya proses itu sehingga saya mula menulis kisah saya sendiri," kata Cik Sofia, yang aktif memberi sokongan kepada mangsa penderaan sejak 2015.



Dek pengalaman yang penuh trauma yang berlaku apabila beliau kecil lagi, ingatannya tentang kejadian penderaan itu hanya samar-samar.



Namun, kesannya kepada kehidupannya begitu jelas.



Dalam buku itu, beliau mengongsi pengalamannya bergelut dengan anoreksia, atau masalah selera makan.



Beliau juga menghadapi masalah keintiman seksual, dan beliau percaya itu merupakan antara punca keretakan rumahtangganya beberapa tahun lalu.



Cik Sofia mengambil proses dua tahun untuk menulis tentang pengalamannya itu.



Beliau menggunakan nama samaran untuk melindungi privasi keluarganya.



Namun, beliau akur sebenarnya ramai yang berada di kelilingnya, termasuk rakan seperjuangan dalam usaha membantu mangsa kanak-kanak, yang tahu tentang pengalamannya itu.



"Ini penting dalam kerja kami, bagi saya untuk tampil dan berkata saya sendiri telah melaluinya. Masalahnya dalam masyarakat Asia, ini ialah tabu dan stigma di sebalik isu ini, dan cara untuk mengatasinya adalah untuk membincangkan isu ini secara terbuka," kata Cik Sofia.



Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kesihatan Mental Singapura, Profesor Madya Daniel Fung, dalam kata pengantar buku The Years of Forgetting berkata perkongsian Cik Sofia boleh membantu untuk memecah stigma dalam masyarakat untuk mengatasi isu penderaan seksual.



"Penderaan seksual kanak-kanak selalunya berlaku dalam keluarga. Di Asia, terdapat tabu dalam membincangkan isu keluarga secara terbuka kerana kita tidak suka membuka aib. Tetapi ia harus dibincangkan sebelum kita berdepan dengan epidemik emosi berkaitan kesan negatif kesihatan mental dalam masyarakat kita," ujar Dr Fung.



Kes penderaan seksual kanak-kanak yang disiasat Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) telah meningkat dalam sedekad lalu, menurut perangkaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Kanak-Kanak (MSF).



Terdapat 58 kes tersebut pada 2010, yang meningkat kepada 210 pada 2019.



Sebanyak 210 kes penderaan seksual kanak-kanak itu merupakan antara sejumlah 1,088 kes penderaan kanak-kanak secara keseluruhan yang disiasat CPS pada 2019.



Hampir 90 peratus daripada pesalah dalam kes penderaan itu melibatkan anggota keluarga atau anggota keluarga tiri, lapor The Sunday Times.



Buku Cik Sofia telah diterbitkan pada 16 April lalu oleh Epigram, dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama.



Satu sesi perbincangan mengenai buku tersebut akan diadakan pada Rabu, 2 Jun ini pada 7.30 malam, secara maya menerusi Zoom.



Mereka yang berminat menyertai sesi itu boleh mendaftar di bit.ly/Sofia-Abdullah.




"Masalahnya dalam masyarakat Asia, ini (penderaan seksual) ialah tabu dan stigma di sebalik isu ini, dan cara untuk mengatasinya adalah untuk membincangkan isu ini secara terbuka."
- Mangsa penderaan seksual kanak-kanak dan penulis buku, 'The Years of Forgetting', Cik Sofia Abdullah.




Apa yang perlu diketahui ibu bapa tentang penderaan seksual kanak-kanak



Cik Sofia Abdullah, seorang mangsa penderaan seksual yang kini memperjuang hak kanak-kanak, mengongsi beberapa cara untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual, dan apa yang perlu diketahui ibu bapa.



- Hati-hati dengan asuhan seksual (sexual grooming) atau proses yang diguna pesalah untuk dekati mangsa. Proses ini juga biasanya libatkan usaha meraih kepercayaan ibu bapa mangsa juga.



- Hati-hati dengan individu yang sentiasa bersedia untuk jaga anak-anak atau 'babysit'.



- Pesalah mungkin biasa dengan bahasa atau lenggok percakapan anak muda, atau trend terkini, seperti permainan video terbaru.



- Sedar bahawa banyak kes dera seksual kanak-kanak libatkan anggota keluarga sendiri.



- Ajar tentang apa yang boleh dianggap sebagai 'sentuhan selamat' atau sentuhan yang boleh diterima.



- Sedar bahawa kanak-kanak mungkin tidak mampu untuk jelaskan tentang penderaan yang berlaku. Contohnya, seorang anak yang kesakitan setelah dirogol mungkin berkata dia 'sakit perut'.



- Hubungi Talian Bantuan Antikeganasan Nasional (NAVH) di 1800-777-0000 untuk laporkan kes penderaan atau keganasan terhadap kanak-kanak. Hubungi polis di 999 jika nyawa dan keselamatan kanak-kanak itu dalam bahaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >