SEORANG wanita yang tidak mempunyai lesen memandu menipu syarikat perkongsian kereta Tribecar yang membenarkannya menyewa kereta sebanyak 21 kali tahun lalu dengan menggunakan butiran kad pengenalan (IC) ibunya untuk membuka akaun Tribecar.
Kylie Lee Wen Hui, 21 tahun, mengaku bersalah semalam bagi satu tuduhan menipu dengan menyamar sebagai orang lain dan satu tuduhan memandu tanpa lesen Kelas 3 yang sah.
Tiga tuduhan lain, termasuk mendapatkan butiran data dalam komputer tanpa kebenaran, akan dipertimbangkan apabila dia dijatuhi hukuman pada 2 September nanti.
Hakim Daerah Ronald Gwee meminta supaya Lee dinilai bagi probesen, yang biasanya ditawarkan kepada pesalah muda berusia 16 hingga 21 tahun.
Mahkamah diberitahu bahawa Lee memperolehi butiran IC ibunya, 53 tahun, menerusi akaun Singpass ibunya pada Oktober tahun lalu.
Dia menggunakan butiran itu untuk membuka akaun dengan Tribecar tanpa pengetahuan atau persetujuan ibunya.
Antara 11 Oktober dan 4 November ta-hun lalu, dia menyewa kereta sebanyak 21 kali menggunakan nama ibunya.
Lee ditangkap apabila dia ditahan sewaktu sekatan jalan raya polis di Seletar Aerospace Drive pada 4 November lalu. Seorang pegawai Polis Trafik mendapati Lee tidak mempunyai lesen memandu Kelas 3.
Ketika ditanya mengapa dia melakukan kesalahan itu, Lee berkata dia dipengaruhi rakan-rakan dan tidak berfikiran waras.
"Saya menyalahkan diri saya kerana dipengaruhi mereka, tetapi saya sedang berusaha berkelakuan lebih baik," tambahnya.
Bagi setiap tuduhan menipu dengan menyamar sebagai orang lain, Lee boleh dipenjara hingga lima tahun dan didenda.
Hukuman maksimum bagi memandu tanpa lesen ialah tiga tahun penjara dan denda $10,000. Pesalah berulang boleh menghadapi sehingga dua kali ganda hukuman itu.