Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wanita yang mati sehari selepas suntikan vaksin Covid-19 alami serangan jantung, tiada alahan vaksin: MOH

Jun 19, 2021 | 08:22 PM



KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) menjelaskan tiada tanda bahawa wanita 72 tahun yang meninggal dunia sehari selepas menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 mempunyai reaksi alahan pada vaksin berkenaan.



Ia memberi respons pada pertanyaan media pada Sabtu (19 Jun) mengenai pos Facebook yang dimuatnaikkan Encik Andrew Tan, yang mempersoal jika kematian ibunya mungkin berpunca daripada vaksin itu.



Ibu Encik Tan, Cik Doreen Chan, menerima dos suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 3 Jun dan "semuanya nampak baik sahaja kecuali lengan yang terasa sakit", jelas Encik Tan dalam lampiran posnya yang tular.



Namun, wanita berusia itu rebah pada 4 Jun sekitar 7.15 malam dan dihantar ambulans ke jabatan kecemasan Hospital Besar Sengkang, di mana beliau kemudian meninggal dunia sekitar 9 malam.



MOH menambah ia diberitahu pihak hospital tentang kematian Cik Chan pada 4 Jun.



Dalam kenyataannya pada Sabtu, Hospital Besar Sengkang, berkata Cik Chan dibawa ke hospital pada 8.39 malam, 4 Jun, dengan pasukan jabatan kecemasan cuba menyedarkannya semula dengan segera tetapi "malangnya, meskipun pihak hospital sudah memberi usaha terbaik, pesakit itu meninggal dunia".



"Kerana sebab kematian tidak dapat dipastikan, kes ini dirujukkan kepada koroner bagi siasatan lanjut. Koroner telah mengesahkan punca kematian sebagai penyakit jantung iskemia," kata hospital berkenaan.



MOH berkata Cik Chan telah menerima suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 3 Jun dan dinilai oleh pegawai jagaan kesihatan terlatih bagi mengesahkan kesesuaiannya bagi vaksinasi Covid-19. Beliau juga dipantau selama 30 minit selepas menerima suntikannya sejajar dengan protokol vaksinasi dan didapati baik-baik sahaja.



"Kes ini telah dirujukkan kepada koroner, yang menjalankan bedah siasat dan menentukan punca kematian adalah penyakit jantung iskemia. Ini adalah kekata yang diberi pada masalah jantung yang berpunca daripada arteri darah yang menyempit.



"Bedah siasat itu mendapati pembuluh darah yang membekal darah ke otot jantung tersumbat sejak sekian lama, yang tidak mungkin berpunca daripada vaksinasi. Tiada tanda yang menunjukkan wujud reaksi alahan pada vaksin yang disuntik," jelas MOH.



Ia juga menambah pihak koroner adalah pihak berasingan secara guaman dan bebas daripada kaitan dengan MOH serta mengesahkan punca kematian yang sahih.



Hospital Besar Sengkang menambah ia telah menghubungi keluarga Cik Chan untuk membantu manakala MOH juga akan tampil apabila diperlukan.



Akhbar The Straits Times melaporkan, Encik Tan, ketua eksekutif syarikat lampin tempatan, Pee-Ka-Poo, berkata, seorang pegawai siasatan polis, bertanya kepadanya dan keluarganya tentang perbuatan khianat dan kondisi ibunya sebelum ini.



Namun, beliau bertanya kepada polis itu jika tumpuannya sepatutnya dijuruskan pada perihal vaksinasi memandangkan ibunya baru sahaja menerima suntikan sehari sebelum kematiannya.



"Nasib baik, saya senang hati perkara-perkara yang saya timbulkan dalam laporan polis itu membawa pada koroner menjalankan bedah siasat," jelas Encik Tan dalam pos Facebook itu.



Apabila sijil kematian Cik Chan dikeluarkan, sebab kematiannya diletakkan sebagai penyakit jantung iskemia atau serangan jantung.



Menurut Encik Tan, selepas kematian ibunya, beliau mengetahui bahawa terdapat peristiwa serupa di mana individu mati atau mengalami masalah kecacatan tetap sejurus menerima suntikan vaksinasi lantas terfikir apakah wujud pola sebegini.



Beliau juga cuba mendapatkan perkongsian pengalaman serupa daripada warganet lain dengan meminta mereka menghubunginya agar kesedaran tentang kematian sebegini dapat disebar, memberi gambaran lebih banyak yang perlu dilakukan bagi menyiasat perkara ini.



Encik Tan menambah beliau bukannya meminta orang ramai agar tidak menjalani vaksinasi dengan mengatakan dirinya sendiri sudah mendapat dua suntikan vaksin Pfizer.



"Saya tergolong dalam kalangan sebilangan besar individu yang tidak mendapat kesan sampingan besar daripada vaksin ini. Kesan sampingan saya termasuk bersin dan batuk lebih kerap. Sayangnya, ada kemungkinan ibu saya adalah golongan minoriti dan jika ini benar, saya harap kebenaran yang tidak diberitahu tentang vaksin ini akan diselongkar. Bagi keselamatan manusia," katanya. - The Straits Times



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >