SEMUA warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, dan ahli keluarga yang tinggal bersama mereka digesa duduk rumah sementara menunggu keadaan Covid-19 menjadi stabil di Singapura, terutama jika mereka tidak divaksin.
Lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini telah menyaksikan lebih ramai warga emas mengalami simptom teruk apabila dijangkiti, kata Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dalam satu kenyataan pada Khamis (30 Sept).
"Warga emas berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius jika mereka dijangkiti Covid-19 dan harus mengambil langkah berjaga-jaga tambahan untuk melindungi diri mereka," katanya.
Bagi mengurangkan risiko dijangkiti, agensi itu mengingatkan warga emas agar keluar rumah hanya untuk kegiatan penting dan mengelakkan tempat sesak.
Dalam empat minggu akan datang, mereka harus mengehadkan kegiatan secara berkumpulan dan perjumpaan sosial, tambahnya.
Agensi itu juga menggalak warga emas agar mengurangkan kegiatan yang membolehkan pelitup dibuka, seperti menjamu selera di pusat penjaja, dan sebaliknya memilih membeli makanan bungkus.
"Warga emas harus memakai pelitup gred pembedahan dengan betul setiap masa dan menjaga amalan kebersihan yang baik seperti mencuci tangan dengan kerap.
"Bagi meminimumkan pendedahan mereka terhadap jangkitan lain, kami juga menggesa warga emas agar mengunjungi hospital hanya jika perlu," kata AIC.
Sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 dan mempunyai simptom ringan atau tiada simptom, warga emas tidak perlu segera ke hospital. Mereka harus mengasingkan diri di rumah, nasihat AIC.
Ia berkata: "Lebih suku kes masyarakat dalam dua minggu terakhir melibatkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.
"Sejak Mei 2021, seramai 257 warga emas yang tidak divaksin terjejas teruk oleh Covid-19 dan dirawat di ICU, memerlukan sokongan oksigen atau meninggal dunia."
Ia menggalak warga emas yang tidak divaksin agar mendapatkan suntikan mereka secepat mungkin kerana risiko orang yang tidak divaksin jatuh sakit hampir tujuh kali lebih tinggi.
Warga emas yang telah divaksin digesa mengambil dos penggalak mereka.
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
1/3
Tutup Kuiz
27
0
Warga emas di S'pura digesa duduk rumah bagi 4 minggu akan datang demi lindungi diri daripada Covid-19
Sep 30, 2021 | 05:33 PM