GENERASI akan datang perlu memahami serta menyokong dasar dan kedudukan Singapura yang tegas terhadap dadah.
Justeru, pendirian itu perlu menjadi teras usaha Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Jika generasi akan datang tidak menyokong pendirian tegas Singapura terhadap dadah, nilai moral undang-undang akan hilang.
Demikian ditekankan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, sewaktu berucap di Seminar Pelan Kerja CNB yang berlangsung di Akademi Home Team (HTA) semalam.
Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada Tinjauan Tanggapan Awam CNB baru-baru ini.
Tinjauan tersebut menunjukkan bahawa golongan muda kurang menyokong kedudukan Singapura terhadap dadah berbanding dengan generasi lebih tua.
"Pencegahan lebih baik daripada penyembuhan. Ini merupakan barisan pertama pertahanan kami mahu mendidik warga Singapura," kata Encik Shanmugam.
Dalam usaha mendekati golongan muda supaya memahami kedudukan Singapura yang tegas terhadap dadah, CNB semalam memperkenal beberapa usaha.
Antaranya ialah aplikasi permainan telefon bijak bernama Seal No To Drugs.
Permainan berteraskan teknologi terimbuh atau augmented reality (AR) itu, yang dibangunkan bersama pelajar Politeknik Nanyang (NYP), mengizinkan pemain mengalami kesan pengambilan dadah seperti halusinasi dan kehilangan koordinasi pergerakan serta saraf.
CNB turut memperkenal teknologi tersebut dalam pameran Pendidikan Pencegahan Dadah (PDE) buat pelajar sekolah menengah sejak Januari tahun ini.
Pegawai projek di Unit Pengurusan Projek CNB, Encik Zhong Kangtai, berkata tujuannya adalah mendidik dalam cara lebih seronok dan interaktif.
"Saya berharap teknologi AR akan menggalak masyarakat belajar secara sendiri dan mengambil peranan aktif memahami bahaya penyalahgunaan dadah dan kesannya ke atas pesalah serta keluarga mereka."
Selain usaha mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, CNB mempertingkat strategi penguatkuasaan serta operasi.
Antaranya ialah Sistem Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Bersepadu II (Ideas II), yang akan dilancarkan dalam dua fasa, yakni tahun ini pada Jun dan September, menurut Encik Shanmugam.
Ideas II akan memperkenal beberapa keupayaan, antaranya ialah 'Mobile Diary' berbentuk elektronik menggantikan buku fizikal yang kini digunakan apabila pegawai turun padang.
Selain itu, keupayaan analitik dan kecerdasan buatan (AI) akan membolehkan pegawai mengenal pasti trend dadah menggunakan data yang diraih daripada kes berbeza.
Pengurus Divisyen Perkhidmatan Korporat CNB, Encik Jerome Leong, berkata:
"Ini mengizinkan pegawai CNB generasi seterusnya supaya berfikir luas, bertindak cepat dan lebih yakin.
"Pekerjaan di CNB 24 jam dan memerlukan pegawai agar cepat bertindak balas dalam situasi di luar."
Jun ini, CNB akan melaksanakan Sistem Pengurusan Pameran Automatik (AEMS) untuk menggantikan cara pemprosesan dadah yang dirampas.
Sistem itu akan memproses kes secara automatik, lantas membolehkan pegawai memberi tumpuan pada pekerjaan lain yang lebih penting.