Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Setempat

Warga NZ kunjungi masjid setempat tunjuk perpaduan bersama Muslim

Mar 18, 2019 | 05:30 AM

WARGA New Zealand yang menetap di Singapura menunjukkan perpaduan bersama umat Islam setempat dengan mengunjungi beberapa masjid di sini menyusuli kejadian tembakan Jumaat lalu yang menyasarkan Muslim di Christchurch, New Zealand.

Masjid Al-Falah di Orchard Road kelmarin menerima kunjungan seorang lelaki New Zealand dan memuat naik gambarnya dalam satu kiriman di Facebook.

"Dalam tempoh yang mencabar ini, seorang lelaki Kiwi dengan baik budi mengunjungi Masjid Al-Falah dalam menunjukkan perpaduan dengan mangsa Muslim dan menawarkan takziah serta ingatannyakepada mereka.

"Beliau amat terjejas dengan tragedi itu dan mahu meluahkan sokongannya bagi mangsa dalam apa cara yang beliau mampu," kata kiriman tersebut.

Lelaki New Zealand itu kemudian memperkenalkan dirinya dalam ruangan komen salah satu gambar yang dimuat naik, di bawah nama Graeme Merrall.

"Ini saya. Saya dari New Zealand. Saya datang untuk memberi penghormatan saya kepada saudara lelaki dan perempuan saya.

"Saya tidak pernah ke masjid sebelum ini tapi ia adalah sesuatu yang saya rasa penting untuk dilakukan.

"Orang yang mengambil 49 anggota keluarga kamu telah gagal. Tindakannya akan mengeratkan kita, bukan menjauhkan.

"Saya mahu mengunjungi lagi dan mempelajari lebih banyak tentang Islam jika kamu sudi menerima saya," tulisnya.

Masjid Al-Huda di Jalan Haji Alias dekat Sixth Avenue kelmarin turut menerima kunjungan seorang wanita New Zealand yang tinggal dalam kawasan kejiranan sama dan dikenali sebagai Cik Kim Forrester.

Menerusi kiriman di Facebook, pengerusi masjid, Encik Azman Kassim, berkata Cik Forrester meluahkan keprihatinan dan simpatinya kepada semua saudara lelaki dan perempuan Islam menyusuli kejadian tembakan di masjid-masjid di Christchurch.

"Beliau menunjukkan rasa sedih dan simpati yang amat mendalam terhadap kejadian itu. Beliau berkata bagi pihak penduduk New Zealand, beliau meminta maaf di atas apa yang berlaku dan mendoakan semua Muslim agar selamat dan makmur dalam agama Islam. (Nota: beliau tidak perlu meminta maaf!)," kata Encik Azman.

Masjid Al-Huda turut mengambil peluang itu untuk menjemput Cik Forrester ke sesi iftar tahunan Kumpulan Keyakinan antara Kaum dan Agama (IRCC) pada Ramadan akan datang ini.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian