SEORANG warga Singapura adalah antara sekumpulan 12 orang yang telah dipindahkan dari ibu kota Ukraine, Kyiv, berikutan pencerobohan Russia ke atas negara tersebut.
Kumpulan itu, yang turut terdiri daripada sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan Ukraine, tiba di sempadan Korczowa-Krakovets antara Ukraine dengan Poland pada 5.45 pagi semalam, kata Kementerian Luar Malaysia dalam satu kiriman Facebook.
Mereka diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, Cik Fadhilah Daud.
"Konvoi itu telah disambut oleh dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Poland," kata kementerian itu yang dikenali sebagai Wisma Putra.
Ia menambah kesemua mereka yang dipindahkan dan pegawai pengiring akan meneruskan perjalanan ke Warsaw, ibu negara Poland.
"Wisma Putra sentiasa berhubung rapat dengan pegawai-pegawai kedutaan bagi memastikan keselamatan serta keberadaan kesemua rakyat Malaysia yang dipindahkan dan juga konvoi yang turut serta," katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral di Johor Bahru dalam satu kiriman Facebook semalam berkata mereka "berterima kasih" kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia kerana membantu warga Singapura itu berpindah dari Kyiv dalam keadaan sukar.
Ia berkata bahawa keadaan di Ukraine kekal "sangat membimbangkan".
"Singapura mengutuk sekeras-kerasnya sebarang pencerobohan tanpa provokasi ke atas negara berdaulat di bawah sebarang alasan. Kedaulatan, kemerdekaan dan kewibawaan wilayah Ukraine mesti dihormati."