Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Warga SG pertama sertai program doktor kesihatan awam Harvard

Mantan pegawai khidmat awam raih pengalaman perjuang hak kanak-kanak di S'pura dan luar negara
Jul 13, 2021 | 05:30 AM



TEKAD Cik Eirliani Abdul Rahman untuk memperjuang hak kanak-kanak telah sebelum ini mendorongnya untuk mengasas sebuah badan tidak mencari keuntungan di Singapura untuk membantu kanak-kanak penderaan seksual.



Malah, keprihatinannya tentang nasib kanak-kanak telah membawanya sejauh India untuk menyelamat kanak-kanak yang diseludup dan dipaksa bekerja, atau dijual sebagai hamba.



Keazaman yang membara dalam sanubarinya itu juga telah mencetus minat untuk mendalami bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan golongan yang kurang bernasib baik.



Kini, pada usia 44 tahun, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Harvard di Amerika Syarikat di bawah program Kedoktoran dalam Kesihatan Awam yang bermula bulan ini.



Malah, beliau merupakan warga Singapura pertama untuk menyertai program kedoktoran tersebut di Sekolah Kesihatan Awam Harvard T.H. Chan di universiti terkemuka itu.



"Rasanya seperti sukar dipercayai. Ini satu penghormatan besar dan sesuatu perkara yang saya tidak ambil ringan," kata mantan pegawai perkhidmatan awam itu.



Beliau juga menerima biasiswa Fellowship Prajna daripada sekolah itu yang menyokong pengajiannya di bandar Boston itu.



Di bawah program itu, beliau akan mengkaji tentang perhubungan dalam bidang kesihatan awam.



Beliau akur proses untuk belajar di luar negara kini mencabar semasa pandemik.



"Saya bernasib baik dapat visa pelajar setelah proses itu dipercepat oleh Kedutaan Amerika Syarikat.



"Sudah tentunya ada proses ketat untuk cegah Covid-19 yang dikenakan pemerintah Amerika dan Universiti Harvard, termasuk prosedur vaksin dan kuarantin," katanya.



Sebelum ini, beliau telah merangkul ijazah sarjana dalam pentadbiran dan dasar awam dari London School of Economics and Political Science, dan ijazah sarjana muda ekonomi dan politik dari Universiti Warwick.



Sepanjang tempoh lebih dua dekad, Cik Eirliani Abdul Rahman telah mengukir kerjaya dalam bidang perkhidmatan awam, diplomatik dan sektor khidmat sosial.



Hingga Mei tahun ini, Cik Eirliani bertugas sebagai penolong pengarah kanan di Majlis Khidmat Sosial Nasional (NCSS).



Beberapa tahun sebelum itu, beliau giat berkecimpung dalam usaha memperjuang nasib kanak-kanak di peringkat antarabangsa bersama yayasan kendalian aktivis warga India, Kailash Satyarthi, yang juga pemenang Hadiah Keamanan Nobel pada 2014.



Cik Eirliani bertugas sebagai pengarah program yayasan tersebut di Delhi, dan kemudian di pejabat yayasan itu di Washington DC.



Tugasnya itu membawanya ke India untuk menyelamat kanak-kanak yang dipaksa bekerja atau diseludup secara haram, dan telah menemui sendiri bapa yang sanggup menjual anak sebagai hamba.



"Bagi lelaki itu, beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjual anaknya sebagai hamba untuk membayar hutangnya.



"Saya terfikir waktu itu, apakah cara perhubungan terbaik untuk atasi isu buruh kanak-kanak, mengambil kira keadaan kawasan luar bandar India dan faktor sosioekonomi yang lain," ujar Cik Eirliani.



Oleh itu, beliau tergerak untuk memperdalam pengetahuannya dalam bidang perhubungan berdasarkan bukti, dan mengkaji strategi yang digunakan badan tidak mencari keuntungan di India dalam mengatasi isu kesihatan berkaitan buruh dan penyeludupan kanak-kanak.



Di Singapura, minatnya dalam memperjuang hak kanak-kanak sebelum ini telah mendorongnya untuk mengasas badan tidak mencari keuntungan Youths, Adult Survivors & Kin In Need (Yakin) pada 2015 untuk membantu mangsa penderaan seksual kanak-kanak.



Dalam bidang profesionalnya pula, Cik Eirliani pernah menyandang jawatan dalam bidang diplomatik di suruhanjaya dan kedutaan Singapura di Delhi, India dan Berlin, Germany.



Beliau juga merupakan mantan penolong pengarah Direktorat Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Tengah bersama Khidmat Luar Singapura.



Cik Eirliani akan mengambil masa sekitar tiga tahun untuk meneruskan pengajian kedoktoran dalam kesihatan awam di Harvard.



Beliau merancang untuk bekerja bersama sebuah pertubuhan antarabangsa yang mengatasi isu penyeludupan manusia setelah tamat program tersebut.



Beliau juga kini sedang merancang untuk menyertai satu ekspedisi ke Kutub Utara tahun depan.




"Rasanya seperti sukar dipercayai. Ini satu penghormatan besar dan sesuatu perkara yang saya tidak ambil ringan. Saya bernasib baik dapat visa pelajar setelah proses itu dipercepat oleh Kedutaan Amerika Syarikat. Sudah tentunya ada proses ketat untuk cegah Covid-19 yang dikenakan pemerintah Amerika dan Universiti Harvard, termasuk prosedur vaksin dan kuarantin."
- Cik Eirliani Abdul Rahman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >