WARGA Singapura yang sudah divaksinasi boleh memasuki Malaysia bermula minggu depan (20 Dis) melalui darat apabila kedua-dua negara meluaskan skim bebas kuarantin di sempadan darat masing-masing.
Warga Malaysia yang sudah divaksinasi juga boleh memasuki Singapura melalui darat tanpa kuarantin di bawah skim Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL).
Buat masa ini, hanya warga, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang negara yang ingin mereka masuku boleh memasuki negara tersebut melalui VTL darat.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata pada Selasa (14 Dis) bahawa tidak akan ada perubahan pada protokol ujian semasa di Singapura dan Malaysia.
"Semua pelancong yang memasuki Singapura perlu mematuhi protokol ujian dan langkah pengurusan yang selamat," tambah MTI.
Sebagai contoh, semua pelancong yang memasuki Singapura perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) Covid-19 selama tujuh hari selepas ketibaan.
Mereka perlu melakukan ujian kendiri ART setiap hari sehingga hari ketujuh selepas ketibaan mereka, dengan ujian pada hari ketiga dan ketujuh perlu dilakukan di pusat ujian.
Pelancong yang memasuki Malaysia juga akan dikenakan rejim ujian Covid-19 setiap hari selama enam hari, di bawah peraturan negara tersebut.