PEKERJA warga Thai berusia 49 tahun meninggal dunia petang semalam (19 Oktober) selepas jatuh dari tempat yang tinggi di tapak binaan Tuas South.
Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia(MOM) berkata lelaki tersebut sedang mengalihkan kepingan bumbung zinc di bumbung bengkel yang sedang dibina apabila beliau terpijak lapisan penebat dan jatuh ke tanah.
Lelaki itu jatuh daripada ketinggian sekitar 14 meter, menurut jurucakap tersebut.
“MOM sedang menyiasat dan semua kerja-kerja di kawasan yang tinggi telah dihentikan di tapak binaan itu,” katanya.
Insiden tersebut berlaku di 80 Tuas South Boulevard dan pengendali tapak binaan itu adalah HPC Builders.
Majikan lelaki tersebut pula adalah Eltraco Roofing System, menurut jurucakap itu lagi.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sekitar 3.50 petang semalam, dan lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh paramadik di tempat kejadian pada 4.13 petang.