Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BELASUNGKAWA

Warisan seorang pendeta

Mar 24, 2016 | 05:30 AM



ANTARA tokoh arif budiman Melayu Singapura, Pendeta Dr Hj Muhammad Ariff, telah berpulang pada 8.59 pagi semalam selepas enam hari dirawat di Hospital Khoo Teck Puat.



Berusia 91 tahun, Allahyarham dikenali oleh ramai Generasi Perintis Singapura termasuk bukan Melayu yang pernah menjadi 'murid' kelas bahasa Melayunya dalam dekad akhir 1950-an dan awal 1960-an termasuk mendiang Presiden Ong Teng Cheong.



PENDIDIKAN



Kerana miskin, ayahnya menghantarnya belajar mengaji Quran saja. Mujur seorang guru menangkapnya kerana menyangkanya ponteng. Sejak itu, beliau belajar di Sekolah Melayu Tanglin Besar dan kemudian Sekolah Melayu Tanglin Tinggi. Citacitanya menjadi pengarang.



Pada zaman Pendudukan Jepun (1942-45), beliau menjadi pensyarah bahasa Jepun. Tuturan bahasa Jepun klasiknya cukup jelas sehingga tertegun dan tunduk sekumpulan pelancong Jepun yang tersesat di kawasan rumahnya pada awal 1980-an.



Beliau antara guru pelatih terbaik dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, antara 'pusat' nasionalisme Melayu.



Sesudah menjadi guru, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Singapura (1959-1979) sehingga bersara.



Cikgu Ariff merupakan penggagas Angkatan Sasterawan '50 yang ditubuhkan bersama 18 ahli di laman rumahnya di 24-H Henderson Road (Kampung Tiung).



Menurut Cik Chan Maw Woh, wartawan pesara dan ahli kamus Cina-Melayu-Inggeris bersama suaminya, Profesor Yang Quee Yee, Allahyarham telah mengenalkan Asas '50 kepada penulis Cina Malaya (singkatannya Mahua) dan mahasiswa Universiti Nanyang (Nantah).



KONGRES BAHASA



Cikgu Ariff merupakan peneraju utama tiga Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (1952 di Singapura, 1954 di Seremban dan 1956 di Johor Bahru dan Singapura).



Hampir semua ketetapan Kongres Ketiga itu mendapat sokongan ramai, termasuk Parti Tindakan Rakyat yang kemudian memerintah Singapura sejak 1959.



Namun perpisahan dari Malaysia yang membawa kemerdekaan Singapura pada 1965 menjejas azam bahasa dan persuratan Melayu. Dengan pimpinannya, Asas '50 membangkitkan gagasan Hadiah Sastera pada 1973 bagi meneguhkan semangat penulis setempat dan jalinan penulis nasional lewat Pertemuan Penulis Singapura serta Pertemuan Sasterawan Nusantara 1977 bagi membina silaturahim selepas kesan Konfrontasi (1963-1965).



LAGU KEBANGSAAN



Cikgu Ariff ditunjuk sebagai pakar bahasa oleh pemerintah baru Singapura bagi membantu penggubah tersohor, Pak Zubir Said, menyempurnakan Lagu Kebangsaan, Majulah Singapura.



Selain sajak, cerpen dan esei, beliau menghasilkan lebih 50 judul buku - novel, tatabahasa dan kamus ringkas. Dua novelnya menjadi teks sekolah - Sarah Pengarang Kecil (akhir 1950-an hingga awal 1960-an dan diterjemahkan ke bahasa Cina) dan Mail Mau Kawin (1970-an).



PELAJARAN KE DAKWAH



Beliau merupakan tokoh terakhir daripada kalangan pengasas Majlis Pelajaran Melayu (1955) yang ditubuhkan bagi membela aliran Melayu daripada dipupuskan oleh dasar British.



Beliau terlibat dalam penubuhan Yayasan Mendaki (malah nama Mendaki merupakan usulnya), penasihat Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan penasihat Taman Warisan Melayu dan Persatuan Guru Bahasa Melayu, dan pengasas serta pengerusi tetap Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.



Pelibatannya cukup menonjol dalam kerja dakwah - menyelaras kegiatan masjid, membentuk Warita Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan menjadi pembelanya dalam zaman gejolak akibat proses perbandaran yang menjejas masjid dan kampung serta ahli 'terlama' dalam Lembaga Rayuan (kes Mahkamah Syariah). Beliau antara tokoh awal menerima Jasawan Cemerlang Muis.



Profesor Hashim Musa dari Malaysia menjulangnya sebagai budayawan besar Melayu lewat adikaryanya, Nilam (2007).



Pada Seminar Kebudayaan 1978 anjuran Kesatuan Guru Melayu Singapura dan Majlis Pusat, Cikgu Ariff yang pertama menegaskan peri penting konsep 'ruang bersama' dalam memupuk Kebudayaan Nasional.



ENDOWMEN NTU



Pelbagai penghormatan diterimanya termasuk Pingat Budaya (1987), Anugerah Tun Sri Lanang pertama dari Majlis Bahasa Melayu pada 1993, gelar 'Pendeta' daripada masyarakat lewat Majlis Pusat pada 1999, Doktor Kehormat Persuratan (Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2006) dan Pingat Bakti Masyarakat (2000).



Anugerah tidak ternilai untuknya tentulah Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad di Universiti Teknologi Nanyang. Endowmen ini masih perlukan banyak derma.



"Yang saya terdaya tinggalkan hanyalah ilmu, selain zuriat saya. Semoga bakti ilmu saya itu dimanfaatkan demi negara dan kemanusiaan," katanya sebak ketika diberitahu beliau mungkin anak Melayu pertama diberi penghormatan sedemikian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >