Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Warna-warni kehidupan

Apr 24, 2022 | 05:30 AM



BARU-BARU ini terdapat laporan mengenai sepanduk ungu yang dipasang oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebagai amaran di beberapa kawasan yang mempunyai populasi nyamuk Aedes tinggi yang menggambarkan kes denggi meningkat mendadak.



Selain ungu, terdapat juga sepanduk dengan kod kuning, merah dan hijau - yang memaklumkan keadaan denggi berdasarkan bilangan nyamuk Aedes dalam sesebuah kawasan.



Dalam satu laporan lain, menyusuli pembukaan sempadan darat Singapura-Malaysia, ramai menyeberangi sempadan menemui keluarga, makan, berbelanja dan cuti.



Namun ada pemandu dengan plat berdaftar Singapura dilihat mengisi kereta dengan petrol jenis RON95 - yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia kerana subsidi tinggi - ditandai dengan muncung pam petrol kuning.



Laporan itu adalah antara contoh betapa warna berperanan menandakan atau melambangkan sesuatu.



Kita maklum pelbagai lambang menerusi warna, termasuk makna lampu isyarat hijau, kuning, merah, dan makna di sebalik merah putih pada bendera Singapura.



Kita juga biasa dengar bahawa setiap perjanjian harus ada hitam putih, bermakna harus ada dokumen bertulis menggariskan butir perjanjian.



Dalam pasaran saham, biasa terdapat ungkapan syarikat dalam keadaan merah (in red) jika mengalami kerugian, dan kembali hitam (back in black) apabila pulih dan meraih keuntungan.



Di Singapura, Men in white adalah mengenai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menjadikan putih sebagai warna seragam.



Pasukan bola sepak Liverpool dikenali juga sebagai The Reds.



Ini menggambarkan warna memaparkan adanya hubungan dan interaksi antara manusia dengan alam sekeliling.



Konsep warna berbeza-beza mengikut pandangan dan pengalaman sesebuah masyarakat. Banyak budaya boleh dibezakan melalui jenis dan variasi makna daripada warna.



Ada penyelidik yang mengaitkan warna dengan makna tertentu.



Secara umum, hitam antara lain menggambarkan misteri, keberanian, kekuatan, atau rasa tidak bahagia.



Ada juga yang mengaitkan hitam sebagai simbol ancaman, dan dalam banyak budaya, hitam juga dikaitkan dengan kematian dan perasaan berkabung.



Hitam juga menggambarkan rasa tidak bahagia, namun hitam juga boleh mengelirukan mata kerana boleh membuat tubuh terlihat langsing.



Putih pula menggambarkan kesucian, kedamaian; merah menggambarkan persamaan, keberanian, kemarahan, kekuatan, dan kemarahan; hijau adalah warna alam, kesuburan, keamanan, harmoni, dan malah rasa cemburuan; kuning menggambarkan kehangatan.



Makna di sebalik warna juga terdapat dalam budaya dan pandangan hidup orang Melayu.



Terdapat banyak kajian, dapatan dan pandangan yang diketengahkan mengenai warna dalam budaya Melayu.



Hitam dan putih mengandungi pelbagai lambang.



Hitam umumnya mengandungi makna negatif, jahat dan keji. Persepsi negatif itu wujud atas pemerhatian orang Melayu dengan alam.



Malam hitam dan banyak perkara yang dibimbangi berlaku, termasuk dikaitkan dengan makhluk jahat.



Maka itu ada istilah ilmu hitam.



Dalam istilah bahasa, kesulitan yang pernah dilalui disifatkan sebagai titik hitam dalam kehidupan.



Dulu orang berkabung menggunakan pakaian hitam.



Namun, dilihat dari perspektif lebih luas, dengan orang Melayu yang rata-rata beragama Islam, hitam juga mempunyai keistimewaan - jemaah berpusu-pusu bertawaf mengelilingi Kaabah yang bersalut kelambu hitam dan berasak-asak untuk mencium hajar aswad (batu hitam).



Putih pula melambangkan kesucian dan keikhlasan. Maka ada ungkapan tentang orang mungkin tidak menarik dari segi penampilan tetapi dihormati kerana berhati putih (baik).



Sebaliknya, orang yang mungkin memiliki paras elok tetapi tidak disukai kerana berhati hitam (jahat).



Maka ada itu ungkapan, hitam-hitam si tampuk manggis, sungguh hitam dipandang manis.



Banyak negara Islam di Timur Tengah menjadikan warna putih sebagai warna pakaian rasmi dan harian.



Maka itu, kalau ada perlawanan bola sepak antarabangsa melibatkan Arab Saudi misalnya, tempat di stadium kelihatan putih kerana penonton memakai jubah putih, walau untuk menonton perlawanan sukan.



Semasa kematian, dulu banyak orang melayat jenazah mengenakan baju putih, menandakan tempat kematian dengan kain putih, kain kafan putih, dan mengikat nisan dengan kain putih. Kain ihram juga putih.



Putih juga tanda penyerahan - tentera mengaku kalah dengan mengibar bendera putih.



Selain hitam dan putih, ada kajian yang menyatakan bahawa tiga warna - merah, hijau dan kuning - mempunyai pengertian dalam budaya Melayu, kerana ada kaitan dengan Islam, raja dan etnik Melayu.



Dengan sebahagian besar orang Melayu beragama Islam, hijau dikatakan warna tradisional Islam. Antara lain, kubah masjid Nabawi warna hijau, bendera Arab Saudi juga hijau.



Singapura juga ada pelan hijau yang memupuk pendekatan mesra alam.



Kuning pula dikaitkan dengan warna diraja yang biasanya dikaitkan dengan sultan-sultan Melayu. Pulut kuning juga dimakan lambangkan kesyukuran.



Merah merupakan warna bagi orang kebanyakan kerana pada dasarnya, semua manusia sama - berdarah merah.Merah juga melambangkan keberanian, kepahlawanan dan kesetiaan.



Semasa tinggal di kampung, anak-anak diingatkan supaya jangan pakai bajumerah ketika mendekati lembu kerana takut disondol.



Di Sepanyol, kain merah memang digunakan untuk mengundang terkaman lembu jantan dalam acara bull-fight.



Seorang pelukis abstrak Malaysia pernah menyatakan falsafah di sebalik warna.



Hijau misalnya disifatkan sebagai permaidani alam; biru ialah dingin alam yang kering; putih bagai kata-kata suci yang tak pudar; hitam terselindung; merah semarak api dan bersemangat; dan kuning adalah suasana alam keliling.



Dalam khazanah bahasa Melayu, terdapat beberapa peribahasa yang menggunakan warna.



Antaranya, ayam hitam terbang malam bertali iju, bertambang tanduk hinggap di kebun rimbun (kejahatan yang dilakukan di dalam sulit, sukar diketahui); hitam bagai pantat belanga (perihal keburukan sifat seseorang); hitam dikatakan putih, putih dikatakan hitam (yang buruk dikatakan baik, yang baik dikatakan buruk, berdusta); hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya (orang yang berbuat jahat dengan kehendak sendiri); hitam-hitam bendi, putih-putih sadah (bendi ialah kereta kuda, sadah ialah kapur); hitam-hitam gula jawa (biar pun hitam tapi manis); hitam-hitam tahi minyak dimakan juga, putih-putih hampas kelapa dibuang juga (barang buruk tapi berguna disimpan, barang yang cantik tetapi tidak berguna dibuang); hitam mata takkan boleh bercerai daripada putihnya (orang yang berkasih-kasihan tidak boleh dipisahkan satu sama lain).



Putih tulang dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga (budi bahasa yang baik akan tetap dikenang orang walaupun kita telah lama meninggal dunia); biar berputih tulang jangan berputih mata (lebih baik mati daripada menanggung malu); suruh putih, hitam datang (lain yang diingini, lain yang diperoleh); putih kapas boleh dilihat, putih berkeadaan (kejujuran seseorang hanya dapat dilihat pada tingkah laku atau perangainya sahaja); putih mata kerana memandang (menanggung rindu); putih mengandung awan, kelambaja mengandung hujan (sesuatu yang perlu pasti. kelambaja ialah awan hitam); putih seperti kapas dibusar (putih berseri, amat putih).



Dan di luar merah, di dalam pahit (lahirnya baik, batinnya jahat).



Begitulah menariknya pemerhatian terhadap warna dalam budaya dan pandangan hidup masyarakat Melayu yang mewarnai kehidupan. Kerencaman keadaan dalam kehidupan disifatkan sebagai warna-warni kehidupan.



Hari Raya bakal menjelang beberapa hari lagi dan dijangka lebih meriah menyusuli pelbagai kelonggaran sekatan kerana ancaman wabak Covid-19 semakin berkurang. Ini tentunya akan menjadikan suasana sambutan lebih warna-warni.




Begitulah menariknya pemerhatian terhadap warna dalam budaya dan pandangan hidup masyarakat Melayu yang mewarnai kehidupan.

Kerencaman keadaan dalam kehidupan disifatkan sebagai warna-warni kehidupan.

Hari Raya bakal menjelang beberapa hari lagi dan dijangka lebih meriah menyusuli pelbagai kelonggaran sekatan kerana ancaman wabak Covid19 semakin berkurang. Ini tentunya akan menjadikan suasana sambutan lebih warna-warni.

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >