KEJAYAAN bazar Hari Raya di Geylang Serai sepanjang Ramadan 2022 dengan lebih 800,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan lapisan masyarakat membuktikan bahawa bazar merupakan ruang dan peluang positif untuk memupuk perpaduan dan keharmonian sosial masyarakat setempat.
Hasil daripada itu, Wisma Geylang Serai (WGS) akan menganjurkan empat bazar bertema dari sekarang sehingga hujung tahun ini. Untuk menarik kumpulan demografi dan minat yang berbeza, WGS juga akan memastikan pemilihan gerai dan perdagangan disusun dengan teliti.
Sempena perayaan Hari Kebangsaan di kawasan kejiranan, WGS telah bekerjasama dengan Orange Travel untuk menganjurkan bazar yang diberi nama “ChillOutz” untuk tempoh 10 hari, mulai semalam (5 Ogos) hingga 14 Ogos dan akan beroperasi setiap hari dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Sebanyak 40 gerai unik telah disiapkan sepanjang jalan depan Wisma Geylang Serai dan tempat-tempat duduk untuk makan juga akan disediakan.
Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), merangkap Penasihat Utama untuk WGS yang hadir hari ini (6 Ogos) untuk pelancaran bazar berkongsi harapannya :
“Seperti yang telah saya umumkan pada awal tahun ini, kami berhasrat untuk terus meningkatkan dan memaksimumkan penggunaan ruang komuniti di WGS.
"Kami sangat berazam untuk menjadikan tempat ini sibuk dan bersemangat lagi. Semoga dengan empat bazar bertema yang akan datang, dan program fizikal seperti konsert bulanan yang dinamakan "Dari Pentas Persada Budaya", kami harap semua dapat hadir.”
Dalam perancangan, pada 7 hingga 11 September ini ialah bazar ‘Pesta Makanan’ (Geylang Serai Food Festival).
Susulan dari itu, dari 30 September hingga 2 Oktober, WGS akan mengadakan pesta bertemakan perlumbaan F1 yang bakal berlangsung kelak.
Sempena cuti sekolah Disember ini, Bazar Lambak akan berlangsung dari 2 hingga 11 Disember.