Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ULANG TAHUN KETIGA WISMA GEYLANG SERAI

WGS papar daya tahan semasa pandemik, terus jalin kerjasama pelbagai pihak

Masagos: Melalui Kurnia@WGS, hab nadi masyarakat Melayu gabung tenaga dengan agensi, badan hulurkan bantuan kepada pihak memerlukan
Jan 22, 2022 | 05:30 AM



WISMA Geylang Serai (WGS) telah memaparkan ketabahan dan daya ketahanan dalam menyesuaikan diri untuk terus bekerjasama dengan rakan dan masyarakat meskipun menghadapi cabaran di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini.



Antaranya, ia berjaya memanfaatkan penggunaan kandungan digital dalam pendekatan programnya, dan secara bertahap membuka pintunya untuk memenuhi keperluan masyarakat.



Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam ucapannya di majlis pelancaran ulang tahun ketiga WGS semalam.



Memberi contoh, Encik Masagos berkata WGS bekerjasama dengan pelbagai rakan untuk mengadakan bazar dalam talian semasa Ramadan tahun lalu sementara terus menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.



Kempen TikTok Hari Raya WGS tahun lalu yang memperkenalkan tarian joget dan zapin pula berjaya menarik 4.2 juta tontonan.



"Saya amat percaya terdapat banyak keberkatan dalam cabaran yang kita hadapi. Sebagai contoh, masyarakat kita telah memikirkan cara yang inovatif untuk menikmati semangat perayaan dan menganjurkan kegiatan dalam masyarakat," kata beliau.



"Krisis ini menunjukkan bahawa sebuah acara dalam talian juga boleh mendapat tontonan berlipat ganda! Malah, penonton antarabangsa juga boleh menonton acara langsung kami," tambah Encik Masagos.



Beliau menambah bahawa WGS juga sebuah wadah penting bagi kerjasama lebih luas antara badan Melayu/Islam, agensi pemerintah dan rakan lain.



Encik Masagos memberi contoh khidmat sehenti Kurnia@WGS yang kini telah dipertingkat untuk merangkumi pejabat M3@WGS dan M3@Eco (Pejabat Penyelarasan Pendekatan).



Melalui Kurnia@WGS, hab nadi masyarakat Melayu di Geylang Serai itu berusaha bergabung tenaga dengan agensi dan badan yang menghulurkan pertolongan kepada pihak yang memerlukan, kata Encik Masagos.



Beliau menambah bahawa M3 terus menjadi pemangkin penting dalam membina sebuah masyarakat yang berjaya, dan akan terus berkembang dan menyelaraskan usaha bersama agensi pemerintah, badan Melayu/Islam dan rakan lain.



"Badan Melayu/Islam mempunyai program yang berkesan dan pengkhususan mapan dalam bidang masing-masing. Kita harus mencari sinergi daripada kekuatan badan Melayu/Islam dan membantu satu sama lain untuk memperluaskan pendekatan kita - kedua-dua menerusi rangkaian M3 dan badan Melayu/Islam.



"Ini demi mencapai satu misi yang sama - untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat kita dan masyarakat lebih luas. Marilah kita memperkukuhkan semangat gotong-royong dan komitmen ramai pemimpin dan relawan masyarakat untuk mempertingkat masyarakat kita," kata beliau.



Acara pelancaran ulang tahun ketiga WGS di bangunan itu turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan ketua pengarah eksekutif Persatuan Rakyat, Encik Lim Hock Yu.



Tema bagi ulang tahun ketiga WGS pada tahun ini - Teguh, Tekad dan Tegap - mencerminkan semangat hab itu mahu terus berkhidmat kepada masyarakat dengan baik meskipun menghadapi pelbagai cabaran di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini.



Selain itu, ia kekal komited dan konsisten untuk memperjuangkan masyarakat, dan memaparkan sifat mampu bertahan meskipun masih lagi dalam keadaan penuh ketidakpastian.



Tahun ini, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak acara dan program baru dan menarik di WGS, termasuk siri persembahan secara langsung setiap bulan di ruang acara Persada Budaya dan sebuah pertandingan tarian.



Anjung@WGS - sebuah ruang masyarakat baru sebelah bangunan WGS - yang dijangka siap dibina pada suku pertama ini pula akan memberi peluang kepada pihak penganjur mengadakan pelbagai kegiatan.



Kemudahan baru itu adalah sebahagian daripada rancangan luas untuk membangunkan kawasan Geylang Serai menjadi jalur budaya masyarakat Melayu.



Ini termasuk menyaksikan pembangunan utama lain seperti Pasar Geylang Serai, Joo Chiat Complex dan simpang empat di hadapan Joo Chiat Complex diberi suntikan nafas baru. Encik Masagos berkata meskipun pembangunan tersebut diperlukan untuk mengikuti perkembangan zaman dan terus memastikan kawasan Geylang Serai hidup, juga sama penting adalah usaha untuk mengekalkan landskap dan identiti tradisional kawasan tersebut.



"Sedang pembangunan utama tersebut menjalani transformasi, saya menggesa WGS untuk meneruskan dengan program budaya untuk melengkapi pembangunan prasarana dan memelihara tarikan umum kawasan ini," kata beliau.




"Badan Melayu/Islam mempunyai program yang berkesan dan pengkhususan mapan dalam bidang masing-masing. Kita harus mencari sinergi daripada kekuatan badan Melayu/Islam dan membantu satu sama lain untuk memperluaskan pendekatan kita - kedua-dua menerusi rangkaian M3 dan badan Melayu/Islam.

Ini demi mencapai satu misi yang sama - untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat kita dan masyarakat lebih luas. Marilah kita memperkukuhkan semangat gotong-royong dan komitmen ramai pemimpin dan relawan masyarakat untuk mempertingkat masyarakat kita."

- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam.




PROGRAM SEMPENA ULANG TAHUN KETIGA WGS



Hari ini



Acara mencatat rekod Senaman Tarian Melayu dan Zumba terbesar

10 pagi hingga 11 pagi

Diadakan secara fizikal dan dalam talian di Zoom



Sesi Perbincangan Kesihatan oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF)

12.30 tengah hari hingga 2 petang

Diadakan di Persada Budaya, tingkat satu di WGS



Sesi Tunjuk Cara Memasak oleh Cef Mel Dean

3 petang hingga 4.30 petang

Diadakan di Persada Budaya, tingkat satu di WGS



Pementasan tayangan perdana Samudera Seni

8 malam hingga 9 malam

Diadakan dalam talian di Facebook and YouTube WGS



Esok



Program Seni, Budaya dan Warisan oleh Mesra

Dari 10 pagi

Diadakan dalam talian di Facebook and YouTube WGS



'Kembara Minda dan Jiwa' oleh kumpulan seni tari, Era Dance

9 pagi hingga 11 pagi

Hanya bagi peserta yang sudah membuat pendaftaran



Program Keluarga Aktif oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)

11 pagi hingga 12 tengah hari

Hanya bagi peserta yang sudah membuat pendaftaran



Peringkat akhir pertandingan adu bakat Suara WGS 3.0

4 petang hingga 7 malam

Diadakan dalam talian di Facebook and YouTube WGS




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >