Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

SIRI LAPORAN ANTIDADAH - KAUNSELOR AGAMA

Wira-wira antidadah - Ustaz cekalkan hati jadi tempat mengadu pesalah hadapi tali gantung

Dec 29, 2019 | 05:30 AM

MEMBERI kaunseling kepada mereka yang meringkuk di penjara bukan calang-calang dan sudah cukup untuk memerah tenaga emosi seseorang.

Tetapi untuk menjadi pendengar setia kepada mereka yang sedang menunggu masa untuk menghadap tali gantung mendatangkan cabaran yang lain daripada lain.

Menyingkap pengalamannya, sukar bagi kaunselor agama, Ustaz Muhammad Firdaus Ismail, menahan sebak.

Manakan tidak.

Hukuman gantung bukan suatu yang boleh diputar balik.

Sayangnya, kebanyakan terperangkap di jalan buntu itu disebabkan sebab utama: Dadah.

Asatizah berusia 36 tahun itu masih ingat lagi bagaimana beliau "tak boleh tidur"sebelum kali pertama beliau jejakkan kaki di penjara.

Tetapi, lama-kelamaan, beliau tahu selok-belok mendekati banduan tahap akhir ini.

"Banduan tahap akhir bukan mahu belajar agama, tetapi mahu seseorang untuk berbual dengan mereka berkenaan agama. Mereka nak tahu tentang sifat Allah.

"Mereka risau tentang perkara seperti Allah ampunkan dosa mereka ke, bagaimana anak bini mereka nanti... Jadi peranan kami di situ bukan untuk buka buku ajar agama. Sebaliknya, tenangkan hati mereka bahawa Allah itu Maha Pengampun, Maha Penyayang," kata kaunselor agama di bawah program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) itu.

Meskipun baru setahun jagung sebagai relawan mendampingi banduan tahap akhir, Ustaz Firdaus sudah berpengalaman dan "biasa" berinteraksi dengan golongan berisiko sewaktu berkecimpung dalam kerjaya di luar bidang agama sebelum ini.

"Mereka pandang saya sebagai kawan biasa, bukan sebagai seorang ustaz. Jadi saya akan selitkan nasihat dengan cara kasar.

"Saya tak nak gelaran ustaz jadi satu pengadang antara saya dan mereka," ujarnya yang turut berkata bahawa cara perbualan kaunselor sepertinya perlu sesuai dan mengikut rentak para pesalah.

Ketika ditanya apa yang membuatnya terdetik untuk menjadi relawan mendekati pesalah, Ustaz Firdaus berkata ia merupakan kekuatannya.

"Mengajar di masjid berbeza daripada mengajar di penjara. Saya lebih cenderung untuk mendekati orang yang tak dapat ilmu agama ni... yang tak dapat ke masjid dan sebagainya... saya lebih suka pergi ke mereka," ujar pengurus Pusat Pendidikan Al Abqariey.

Menerusi pengalamannya, Ustaz Firdaus berkata rata-ratanya pesalah menyesal akan perbuatan mereka setelah ditangkap, tetapi bagi banduan tahap akhir, mereka tidak ada jalan keluar jadi satu-satunya jalan bagi mereka adalah untuk terima hakikat bahawa mereka perlu tanggung apa yang mereka buat.

Meskipun ini suatu yang menyedihkan, Ustaz Firdaus berkata pengalamannya berinteraksi dengan golongan ini telah merubah lensanya terhadap mereka.

Meskipun pernah berbuat jahat, rata-rata banduan akhir ini bertaubat dan memberi tumpuan penuh terhadap ibadah mereka sambil meniti hari-hari akhir mereka dalam kehidupan.

Dengan lensa positif ini, Ustaz Firdaus berharap masyarakat akan lebih menyokong pesalah yang diberi peluang kedua untuk berubah.

"Saya pernah bertanya pesalah, apa yang buat mereka patah balik kepada dadah. Mereka berkata antaranya, masyarakat. Apabila mereka keluar penjara, yang sambut mereka bukan keluarga, tetapi kawan lama," kata bapa dua anak itu.

Beliau yang melakukan kerja sukarela ini kira-kira empat kali seminggu berkata beliau berharap dapat terus berkhidmat seberapa lama yang beliau mampu.

"Saya berharap lebih ramai asatizah akan tampil untuk sertai program ini, tetapi perlu ada pengalaman hidup kerana pesalah ini bukan sekadar 'budak sekolah'. Malah ada di antara mereka yang mempunyai pengalaman hidup yang lebih luas.

"Yang penting, jiwa dan mental kita perlu kuat," tambahnya.


" Saya pernah bertanya pesalah, apa yang buat mereka patah balik kepada dadah. Mereka berkata antaranya, masyarakat. Apabila mereka keluar penjara, yang sambut mereka bukan keluarga, tetapi kawan lama... Saya berharap lebih ramai asatizah akan tampil untuk sertai program ini, tetapi perlu ada pengalaman hidup kerana pesalah ini bukan sekadar 'budak sekolah'. Malah ada di antara mereka yang mempunyai pengalaman hidup yang lebih luas. Yang penting, jiwa dan mental kita perlu kuat.
- Ustaz Muhammad Firdaus Ismail.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian