Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Wisma Geylang Serai perkukuh dan semarakkan warisan Melayu

PM Lee: WGS juga akan pastikan rakyat Singapura dari pelbagai bangsa dan agama turut sama dialu-alukan
Jan 27, 2019 | 05:30 AM

WISMA Geylang Serai (WGS), sebagai ikon masyarakat Melayu, berwawasan menjadi hab sosial dan budaya Melayu di samping menarik warga Singapura daripada pelbagai kaum dan agama, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dengan selesainya pembinaan bangunan itu, beliau berkata kawasan Geylang Serai yang lebih luas dan kawasan di sekitar WGS pula akan dipertingkatkan sebagai tempat yang meraikan dan membangunkan budaya Melayu.

Berucap di majlis pembukaan rasmi WGS semalam, Encik Lee berkata WGS akan menyuntik kesegaran dan kemodenan kepada Geylang Serai dan sekitarnya, sambil mengukuhkan identiti serta warisan budaya orang Melayu.

"Aspirasi jangka panjang WGS ialah untuk menjadi sebuah hab sosial dan budaya Melayu Singapura. WGS akan menghimpunkan pelbagai badan Melayu/Islam, agensi sosial dan pemerintah di bawah satu bumbung. Ini supaya WGS mampu menyediakan pelbagai program dan kemudahan yang memenuhi keperluan masyarakat.

"Saya yakin WGS akan menjadi ikon masyarakat Melayu Singapura. Di samping itu, WGS juga akan memastikan bahawa rakyat Singapura dari pelbagai bangsa dan agama turut sama dialu-alukan di sini,'' kata Encik Lee, dalam majlis penuh istiadat yang diserikan dengan upacara tradisional penyerahan keris mandat semalam.

Pusat itu, yang terletak di bekas tapak Kampung Melayu Geylang Serai lama, menempatkan pelbagai badan Melayu/Islam, agensi sosial dan pemerintah di bawah satu bumbung.

WGS menempatkan pejabat bersama M kuasa tiga (M3) - Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), serta pusat sehenti Kurnia@WGS bagi orang ramai mendapatkan khidmat daripada lapan badan Melayu.

Selain itu, Kelab Masyarakat Geylang Serai dan Majlis Pembangunan Masyarakat Southeast, juga terletak di WGS, yang menganjurkan pelbagai kegiatan yang dibuka kepada semua rakyat.

Pusat Khidmat Keluarga PPIS (Timur), tajaka NTUC First Campus' My First Skool, serta pusat warga emas Silver Circle juga terletak di sana.

Sejak sekian lama, Encik Lee berkata Geylang Serai telah menyumbang kepada identiti nasional berbilang kaum kita yang bertenaga dan menjadi kebanggaan semua rakyat Singapura.

"Wisma Geylang Serai mesti mempertahankan semangat perpaduan dan inklusif di kalangan rakyat. Kita harus bersatu padu, seperti peribahasa Melayu, seikat bak sirih, serumpun bak serai.

"Kalau kita mahu Singapura menjadi tanah air yang menawan dan maju jaya buat semua, kita mesti bersatu padu demi memperkukuh masyarakat majmuk kita," ujar Encik Lee, yang pertama kali mengumumkan projek WGS di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 2011.

Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), telah dilantik untuk memantau projek tersebut.

"Kini setelah WGS siap dibina, Dr Maliki dan pasukannya akan mengambil langkah seterusnya untuk mendekati masyarakat bagi membangun Geylang Serai lagi.

"WGS akan menjadi pusat di tengah-tengahnya. Tetapi, di sekitar WGS, kita akan meningkatkan Geylang Serai sebagai tempat yang meraikan dan mengembangkan budaya Melayu dan dapat membanggakan masyarakat. Saya yakin kita akan menjadikan pusat dan kawasan ini rancak, dan satu contoh tempat yang menghimpunkan masyarakat berbeza di Singapura yang berbilang budaya," kata Encik Lee.

Berucap di majlis semalam, Dr Maliki berkata pihaknya akan memulakan rancangan menjadikan Geylang Serai kawasan dengan ciri-ciri budaya tersendiri.

"Ini termasuk perundingan awam dan latihan mendekati masyarakat untuk menjana idea kreatif, meluaskan imaginasi, dan meneroka pelbagai kemungkinan," kata Dr Maliki.

Sementara itu, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Profesor Fatimah Lateef, pula berkata Kelab Masyarakat Geylang Serai akan terus mengekalkan tumpuan mendekati masyarakat berbilang kaum dan agama, serta meneruskan usaha memupuk kepercayaan dan pemahaman.

"Ini merupakan hab budaya untuk warga Singapura, penduduk, rakan-rakan, serta rakyat baru yang berbilang kaum untuk berkumpul. Ini sentiasa menjadi tumpuan kami," ujar Profesor Fatimah.

Sempena pembukaan rasmi, WGS menganjurkan pesta tiga hari yang memaparkan aneka program, termasuk pertunjukan bunga api, bazar bertema, serta konsert percuma.


"Wisma Geylang Serai mesti mempertahankan semangat perpaduan dan inklusif di kalangan rakyat. Kita harus bersatu padu, seperti peribahasa Melayu, seikat bak sirih, serumpun bak serai.
"Kalau kita mahu Singapura menjadi tanah air yang menawan dan maju jaya buat semua, kita mesti bersatu padu demi memperkukuh masyarakat majmuk kita.''

- PM Lee Hsien Loong

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian