Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG PEMBUKAAN RASMI WISMA GEYLANG SERAI

Wisma Geylang Serai tarik pengunjung pelbagai latar belakang

* Maliki: Pelbagai kegiatan tarik minat semua lapisan masyarakat sejak WGS beroperasi Mei lalu * Pusat kini giat bersiap bagi satu pesta tiga hari mulai Jumaat ini sempena pembukaan rasmi pada Sabtu
Jan 22, 2019 | 05:30 AM



SEDANG Wisma Geylang Serai (WGS) bermatlamat menjadi hab budaya Melayu, pusat itu telah menarik 60,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk pengunjung bukan Melayu sejak Mei lalu.



Menjelang pembukaan rasmi pusat itu pada hujung minggu ini, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata pelbagai acara telah diadakan dalam beberapa bulan lalu demi memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk menikmati budaya dan warisan Melayu.



"Kami mula beroperasi sejak Mei tahun lalu, dan telah menganjurkan pelbagai kegiatan bagi menarik minat semua lapisan masyarakat, baik masyarakat Melayu mahupun bukan Melayu," kata Dr Maliki.



Beliau berkata demikian dalam satu mesej video yang diterbitkan di Facebook pada Jumaat lalu.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), WGS berkata pusat itu telah menarik seramai 60,000 pengunjung menerusi pelbagai kegiatan yang dianjurkan sejak pusat itu mula beroperasi pada Mei tahun lalu.



Bulan lalu sahaja, seramai 6,000 orang menghadiri acara pesta muzik rok RockFest 2018, dan ramai lagi yang menyertai program seperti festival muzik belia Melayu, Gala Laga, pesta Satay Club dan pertandingan dikir barat Mega Puteri 2018.



Sempena pembukaan rasmi WGS, satu pesta tiga hari akan diadakan bermula Jumaat ini, dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dijadual menghadiri majlis pembukaan rasmi WGS pada Sabtu.



Kunjungan BH ke pusat bersebelahan Pasar Geylang Serai itu baru-baru ini menunjukkan pasukan WGS dan pekerja sedang sibuk membuat persiapan menjelang program hujung minggu ini.



Antaranya, pekerja membangunkan khemah-khemah di tanah lapang sekitar WGS untuk menampung pelbagai kegiatan yang dirancang.



Pengurus Besar WGS, Encik Mulyadi Ahmad, berkata pesta tiga hari itu bertujuan memukul canang sebagai tanda selesainya pembinaan WGS.



"Kami mahu raikan pembangunan WGS dan mengumumkan kepada orang ramai kami sudah bersedia untuk menerima pengunjung," ujar Encik Mulyadi dalam satu wawancara dengan BH.



Pesta sempena pembukaan WGS itu bertemakan 'Dahulu, Sekarang dan Akan Datang' dan bertujuan membawa pengunjung menyusuri sejarah kawasan Geylang Serai dari zaman lampau hingga kini, dan membayangkan perubahan kawasan itu pada masa depan.



Antara program yang disajikan hujung minggu ini ialah bazar bertema 'Tiga Era@LalooLalang' yang memaparkan muzik tiga zaman dari pop yeh yeh hingga 'rok kapak', sekali gus menyajikan suasana menarik bagi pengunjung membeli-belah.



Selain itu, pengunjung boleh menikmati pertunjukan bunga api, konsert percuma Ramli Sarip serta tayangan filem P. Ramlee secara santai di bawah langit malam.



Satu pameran bertajuk 'Progression' oleh kumpulan Creative Malay Arts & Culture (CMAC) serta Seni Reka Bentuk dan Media Universiti Teknologi Nanyang (NTU) akan merenung tema 'Dahulu, Sekarang dan Akan Datang' bagi Geylang Serai.



"Sedang kami cuba memelihara budaya dan seni Melayu di WGS, kami juga memikirkan apa perubahan yang boleh dilakukan pada masa depan tanpa melupakan asal usul kami," ujar Encik Mulyadi.



WGS ialah hab sosial dan warisan budaya pertama di Singapura yang membawa pelbagai pertubuhan Melayu/Islam, pemerintah dan masyarakat di bawah satu bumbung.



Pusat bersepadu itu menempatkan Kelab Masyarakat Geylang Serai, Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, kemudahan seni, galeri warisan Melayu, pusat penjagaan warga emas serta kanak-kanak, pusat perkhidmatan keluarga dan juga ruang runcit.



Mula beroperasi Mei lalu, pusat itu dibuka secara berperingkat dan kesemua kemudahan dan kedai dijangka dibuka menjelang pembukaan rasminya hujung minggu ini.



Antara kedai yang sudah atau bakal dibuka di WGS termasuk A'NIZ, Begum Bridal, Dwiz, Sweet Rose Couture, Toko Warisan, Tumi Mode, Selera Serambi, Saap Saap Thai, Kaffe & Toast dan Marrybrown.



Pengurus kedai yang juga anak pemilik niaga A'NIZ, Cik Natasha Basharahil, berkata kedai tersebut sudah mula dibuka pada 1 Januari lalu, dan meluahkan harapan WGS akan menarik lebih ramai pengunjung setelah pelancaran rasminya.



"Bapa saya pernah berkata kawasan ini suatu ketika dahulu adalah 'Orchard Road' bagi masyarakat Melayu. Dahulu kalau ada bazar Ramadan, macam mana pun, cuma ada satu di sini. Jadi semua orang datang ke sini.



"Sekarang bazar dah berpecah kepada kawasan lain tetapi bapa saya buka cawangan di sini dengan harapan kami mempunyai kelebihan terutama sekali sewaktu tempoh Ramadan," kata Cik Natasha.




"Kami telah beroperasi sejak Mei tahun lalu, dan telah menganjurkan pelbagai kegiatan bagi menarik minat semua lapisan masyarakat, baik masyarakat Melayu mahupun bukan Melayu. Kami menganjurkan banyak kegiatan demi memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk menikmati budaya dan warisan Melayu."
- Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.




SEKILAS ACARA KEMUNCAK MAJLIS PEMBUKAAN



TIGA ERA @ BAZAR PERAYAAN LALOOLALANG



25-27 Jan, 12 tengah hari - 10 malam



PERKELAHAN MALAM DENGAN BUNGA API DAN PERTUNJUKAN PANCARAN CAHAYA MULTIMEDIA



26 Jan, 6 petang - 8.15 malam



KONSERT RAMLI SARIP



26 Jan, 8.30 malam - 9.30 malam



TAYANGAN FILEM: SENIMAN BUJANG LAPOK



26 Jan, 8.30 malam



'PROGRESSION': PAMERAN MENGIMBAS KEMBALI GEYLANG SERAI (DAHULU, KINI DAN AKAN DATANG)



26 Jan, mulai 7.30 malam




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >