PARTI Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan menentang Belanjawan 2022 yang dibentangkan pemerintah kerana tidak bersetuju dengan rancangan menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), khususnya dalam masa sukar sekarang.
Ketua Pembangkang, yang juga ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata parti itu tetap berpegang pada prinsipnya bahawa menaikkan GST bukanlah satu-satunya cara untuk meningkatkan pendapatan negara, dan saranan yang pernah diketengahkan - seperti menyesuaikan rangka kerja Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) - tetap munasabah.
Ini meskipun WP menyokong hala tuju Belanjawan 2022 bagi memperkukuhkan kompak sosial Singapura demi mencapai masyarakat yang lebih saksama, inklusif dan mapan demi masa depan.
Turut menentang Belanjawan 2022, ialah Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari PSP, Encik Leong Mun Wai, yang menganggap kenaikan GST tidak perlu pada masa ini dan akan memberikan bebanan kewangan sebanyak "$1.2 bilion" ke atas penduduk.
Dalam hujahnya, Encik Pritam, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) pertama memulakan perbahasan, berkata kenaikan GST akan diadakan sedang kadar inflasi dan harga kini tinggi dan meningkat.
"Ganggunan terhadap rantai bekalan telah meninggalkan kesan besar ke atas perbelanjaan orang ramai. Terdapat keprihatinan yang nyata bahawa pengumuman menaikkan GST akan menyebabkan kenaikan harga bagi semua.
"Malah, beberapa kenaikan harga sudah pun berlaku dengan spekulasi yang akan adanya kenaikan GST."
Menurut Encik Pritam, pemerintah tidak perlu menaikkan GST dan terdapat cara lain untuk menambah pendapatan negara yang pernah diusulkan oleh parti itu sebelum ini, di samping penyesuaian pada rangka kerja rizab.
"Kami telah menyokong kewaspadaan fiskal sebagai prinsip tadbir selia. Tetapi kami juga percaya langkah cukai progresif yang bijak boleh membolehkan kita mencapai matlamat masyarakat lebih luas," ujar Encik Pritam.
Katanya, sedang pemerintah meneroka cukai harta, usaha perlu dilakukan untuk membezakan berbagai cukai harta.
"Kita harus mengenal pasti pengumpulan harta secara sah melalui usaha dan kegiatan perniagaan nyata, khususnya yang mewujudkan pekerjaan untuk warga.
"Meskipun terdapat skop lagi untuk cukai harta, nilai keusahawanan dan ganjaran saksama bagi kerja keras perlu tetap diiktiraf, malah digalak, menerusi rebat cukai atau pelepasan untuk individu sedemikian.
"Namun kekayaan dikumpul menerusi peningkatan modal perlu ditangani dengan cara berbeza dan dicukai sewajarnya, demi mencapai masyarakat lebih saksama dan inklusif," jelasnya.
Beliau menekankan lagi saranan WP, yang termasuk menyertakan sebahagian daripada penjualan tanah dalam pendapatan berulang, dan menyesuaikan rangka kerja NIRC untuk membenarkan perbelanjaan berulang dinaikkan kepada 60 peratus berbanding 50 peratus sekarang.
Sementara itu, Encik Leong berkata PSP tidak menyokong Belanjawan ini kerana tiada perlunya kenaikan GST.
"Kedua, negara ini dalam kedudukan kewangan sangat kukuh, tetapi warga memerlukan semua bantuan untuk mengatasi cabaran kewangan sekarang.
"Ketiga, dalam Belanjawan ini, pemerintah meminta warga Singapura mengikat perut lagi sedang ia mempunyai rizab yang besar dan pendapatan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya."
Menurut Encik Leong, dengan menaikkan GST, ia akan menyebabkan tambahan bebanan sebanyak $1.2 bilion ke atas perniagaan kecil dan sederhana serta warga.
Sebelum menyampaikan hujahnya, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) meminta penjelasan daripada Encik Leong mengenai perangkaan "bebanan tambahan $1.2 bilion" ke atas golongan pertengahan.
Menjawab, Encik Leong berkata ia dikira daripada nisbah yang diberikan Menteri Kewangan bagi bahagian GST yang dibayar oleh 20 peratus penduduk teratas, iaitu sebanyak 60 peratus daripada kenaikan GST berbanding 40 peratus kenaikan dibayar oleh 80 peratus penduduk terbawah.
Namun ini tidak mengambil kira jumlah bantuan yang diberikan oleh pemerintah dalam mengimbangi kenaikan GST, kata Encik Leong apabila ditanya Encik Saktiandi mengenai hal itu.