Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wujud kesepakatan kukuh masyarakat mengenai takrif perkahwinan: Masagos

Pindaan perlembagaan lindungi takrifan institusi perkahwinan, tegakkan dasar yang cerminkan kesepakatan itu
Nov 29, 2022 | 05:30 AM



TERDAPAT kesepakatan kukuh dalam masyarakat bahawa perkahwinan adalah antara seorang lelaki dan seorang wanita, dan anak-anak harus dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga sedemikian.



Justeru pindaan perlembagaan untuk melindungi takrifan institusi perkahwinan itu daripada cabaran undang-undang akan membantu menegakkan dasar yang mencerminkan kesepakatan itu, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Parlimen semalam.



Dasar-dasar itu termasuk dasar perumahan awam yang memberi keutamaan kepada pasangan yang telah berkahwin dan dasar mengenai pengambilan anak angkat untuk pasangan yang telah berkahwin sahaja, katanya.



Encik Masagos berkata demikian semasa hari pertama perbahasan berhubung perubahan yang diusulkan kepada perlembagaan bagi "melindungi takrifan perkahwinan" daripada dicabar dalam mahkamah.



Ia dibahaskan bersama pemansuhan Seksyen 377A Kanun Jenayah yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai jenayah.



Pindaan perlembagaan itu memperkenalkan klausa Artikel 156 yang baru. Klausa itu menetapkan bahawa hanya Parlimen boleh mentakrifkan institusi perkahwinan.



Ia juga membolehkan pemerintah dan pihak berkuasa melindungi, menyokong, memupuk dan mempromosikan perkahwinan.



Encik Masagos berkata pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) selama ini konsisten dalam sokongan kukuhnya terhadap institusi perkahwinan dan keluarga menerusi dasar dan undang-undangnya.



Bagaimanapun, boleh terdapat cabaran kepada undang-undang dan dasar yang berkaitan dengan perkahwinan, katanya.



Beliau menukil contoh dari bidang kuasa lain seperti di India di mana mahkamah agung mendapati bahawa takrifan unit keluarga harus diperluaskan untuk menyertakan hubungan homoseksual.



"Apabila mahkamah membuat keputusan, keadaan berubah dalam sekelip mata, dengan kesan sosial yang drastik yang menyebabkan polarisasi masyarakat," kata Encik Masagos.



"Oleh itu, kami secara proaktif melindungi institusi perkahwinan dan undang-undang serta dasar berkaitan daripada dicabar di mahkamah. Ini akan membolehkan pemerintah untuk terus membuat undang-undang dan dasar, yang bergantung kepada perkahwinan heteroseksual sebagai asasnya," tambahnya.



Encik Masagos berkata sebuah pemerintah yang bertanggungjawab tidak harus membiarkan mahkamah bergelut dengan isu sosial yang kontroversial.



"Rang Undang-Undang ini adalah apa yang akan perkenalkan oleh pemerintah yang bertanggungjawab, yang menjalankan tugasnya kepada rakyat Singapura.



"Ia membolehkan proses politik untuk mengimbangi kepentingan dan perspektif yang berbeza dan tidak menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan persoalan politik, yang ia tidak ditubuhkan untuk lakukan," katanya.



Encik Masagos berkata sesi pendampingan yang dijalankan dengan warga Singapura daripada pelbagai lapisan masyarakat mendapati ada di kalangan mereka yang mahu takrifan perkahwinan dimaktubkan dalam perlembagaan.



"Kami faham bahawa seruan ini datang daripada kepercayaan yang tulus terhadap kesucian perkahwinan dan mencerminkan kebimbangan yang tulen bahawa institusi perkahwinan mungkin diubah pada masa akan datang untuk menyertakan perkahwinan sejenis," katanya.



Tetapi, beliau menambah sedang perkahwinan dan keluarga adalah asas masyarakat, untuk menaikkannya ke tahap yang sama dengan hak asasi akan mengubah keseluruhan rupa perlembagaan.



Takrifan perkahwinan akan kekal dalam Piagam Wanita, Akta Tafsiran dan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).



Dalam perbahasan semalam, Anggota Parlimen (AP) rata-rata berkata golongan homoseksual merupakan mereka yang hidup bersama masyarakat, lantas golongan tersebut tidak sepatutnya diberi layanan berbeza hanya kerana apa yang mereka lakukan secara privet.



Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkata ia menyokong pemansuhan Seksyen 377A tetapi percaya bahawa takrifan perkahwinan harus ditentukan melalui referendum nasional.



Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, pula berkata Parti Pekerja (WP) akan mengangkat Cemeti Parti ke atas Anggota Parlimennya (AP) supaya mereka dapat mengundi dengan bebas tentang pemansuhan Seksyen 377A.



Kesemua sembilan AP WP mempunyai pandangan berbeza ke atas seksyen itu dan akan bercakap tentang topik tersebut dalam kapasiti individu.



Perbahasan disambung hari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >