SUSULAN ROMBAKAN KABINET

Yaacob berperanan penting dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam dari segi pendidikan, sosial dan agama

PEMIMPIN masyarakat dan agama setempat terus memberi penghargaan kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, atas sumbangannya sepanjang menerajui pucuk kepimpinanan Melayu/Islam sejak sekian lama.

Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong kelmarin, Dr Yaacob, 62 tahun, merupakan antara tiga menteri yang akan bersara mulai 1 Mei ini.

Menurut beberapa pemimpin yang dihubungi Berita Harian, Dr Yaacob yang memegang jawatan itu selama 16 tahun sejak 2002 telah memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat termasuk dari segi pendidikan, sosial dan agama.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam, berkata Dr Yaacob selaku Menteri Penerangan dan Perhubungan antara lain telah membuka jalan bagi pelbagai daya usaha di saat Singapura berkembang menjadi Negara Bijak.

MENDAKI

Selaku pengerusi Yayasan Mendaki pula, Dr Yaacob juga telah membimbing badan bantu diri itu bagi memastikan masyarakat Melayu/Islam di sini terus menerima sokongan dalam bentuk pendidikan dan diperkasa untuk menjadi sebuah masyarakat yang cemerlang.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Moliah Hashim, berkata Dr Yaacob memaparkan nilai kecemerlangan dan beliau teguh meyakini bahawa kemajuan boleh dicapai menerusi penimbaan ilmu.

"Beliau seorang pengerusi yang selalu 'turun padang', amat terlibat dengan penghasilan konsep dan pelaksanaan program kami. Beliau juga memberi hala tuju yang sangat jelas dan sentiasa menggalak kami untuk mengikuti arus perkembangan... termasuk dari segi penggunaan teknologi dan tadbir urus," katanya.

Semasa berkhidmat sebagai CEO Mendaki, Cik Moliah berkata banyak usaha juga perlu dijalankan dari segi pendekatan masyarakat agar orang ramai lebih sedar tentang peranan Mendaki.

MASYARAKAT

Masyarakat Melayu/Islam di sini juga telah meraih banyak pencapaian selama ini dari segi pendidikan dan sosial. Sementara itu, institusi Melayu/Islam juga kian bertambah profesional.

"Kalau kita lihat di keliling kita, kita boleh melihat banyak kisah kejayaan dalam masyarakat Melayu/Islam kita. Individu Melayu/Islam kini menceburi sektor yang sebelum ini tidak diceburi orang Melayu. Saya rasa ini antara lain disebabkan usaha Dr Yaacob selama ini serta galakan yang sentiasa diberikannya, menyambut setiap kecemerlangan dalam masyarakat kita," kata Cik Rahayu.

Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohd Anuar Yusop, melahirkan penghargaan atas sokongan beliau selama ini dan berkata masyarakat yakin Dr Yaacob akan terus menjadi aset kepada masyarakat selepas beliau bersara.

AGAMA

Cik Rahayu menambah, tugas seorang Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam bukan mudah dan mereka seringkali harus membuat keputusan yang sukar.

Malah realitinya, Dr Yaacob juga harus mengimbangi antara memahami sentimen warga serta memperjuangkan isu tertentu.

Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembentukan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), yang kini menjadi satu ukur tara bagi memastikan pengajian Islam di Singapura kekal terjamin.

Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata pihaknya berterima kasih kepada Dr Yaacob atas segala sumbangan beliau, khususnya dalam perkara berkaitan dengan ARS.

"ARS kini sudah menjadi satu skim yang diakui oleh pihak pemerintah dan dapat berkuatkuasa di Singapura dengan maksud dan tujuan agar perkembangan agama Islam di sini dapat diteruskan serta dilaksanakan dengan lebih baik oleh asatizah yang bertauliah," katanya.

MASJID & MADRASAH

Beberapa pemimpin masjid di sini berkata, landskap masyarakat Islam setempat juga kini telah berubah secara positif.

Pengerusi Eksekutif Masjid Mujahidin dan Al-Amin, Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya, berkata langkah membolehkan Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) digunakan bagi menampung kerja peningkatan dan pembangunan semula masjid juga dilaksanakan semasa Dr Yaacob memegang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

"Saya rasa ini satu usaha yang amat bermanfaat kerana ia dapat memberi kemudahan kepada jemaah warga emas, menerusi pembinaan lif dan sebagainya," ujarnya.

Sumbangan Dr Yaacob kepada sektor madrasah turut dirasakan masyarakat, termasuk penyelarasan pendidikan madrasah sepenuh masa di bawah satu rangka yang diberi nama Sistem Madrasah Bersepadu (JMS) yang bertujuan meningkatkan mutu pendidikan madrasah setempat.

Bagi mudirah Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Cik Khairiana Zainal Abiden, beliau turut menghargai usaha lain Dr Yaacob yang antara lain memperluaskan skim seperti Edusave bagi pelajar madrasah dan pembangunan professional bagi guru.

"Menerusi program pembangunan profesional bagi ketua jabatan itu, ia membantu memastikan ketua jabatan mempunyai ilmu dan kepakaran yang diperlukan.

"Menerusi program ini juga, ketua jabatan Madrasah Aljunied dapat menjalin rangkaian dengan ketua jabatan sekolah nasional dan saling mempelajari amalan terbaik di sekolah masing-masing. Sebelum ini tiada program sebegini langsung dan tiada ruang dan peluang untuk ketua jabatan dan guru menimba pengalaman daripada teman di sekolah nasional," katanya.


"ARS kini sudah menjadi satu skim yang diakui oleh pihak pemerintah dan dapat berkuatkuasa di Singapura dengan maksud dan tujuan agar perkembangan agama Islam di sini dapat diteruskan serta dilaksanakan dengan lebih baik oleh asatizah yang bertauliah."
- Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas), menghargai usaha Dr Yaacob Ibrahim yang memainkan peranan penting dalam pembentukan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), yang kini menjadi satu ukur tara bagi memastikan pengajian Islam di Singapura kekal terjamin.

"Beliau seorang pengerusi yang selalu 'turun padang', amat terlibat dengan penghasilan konsep dan pelaksanaan program kami. Beliau juga memberi hala tuju yang sangat jelas dan sentiasa menggalak kami untuk mengikuti arus perkembangan... termasuk dari segi penggunaan teknologi dan tadbir urus," katanya.
- Cik Moliah Hashim, Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki