MENTERI Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, berkata beliau menghargai keputusan syarikat percetakan Times Printers untuk tidak menerbitkan semula muka depan edisi terkini majalah satira Charlie Hebdo dalam majalah mingguan The Economist.
"Saya rasa warga Singapura memahami sensitiviti bahawa kita harus terus melindungi keharmonian kaum dan agama.
"Oleh itu saya menghargai sensitiviti yang ditunjukkan oleh syarikat percetakan dan saya memuji mereka bagi keputusan itu," kata Dr Yaacob.
Dalam edisi terkini majalah satira Charlie Hebdo, muka depannya menggambarkan karikatur Nabi Muhammad sedang menangis dan memegang tanda yang berkata 'Je Suis Charlie' (Saya Charlie) dengan kata-kata 'Toutest Pardonne' (Semuanya Dimaafkan) di atasnya.
Syarikat yang mencetak The Economist di Singapura, Times Printers Pte Ltd, berkata ia mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan semula muka depan majalah Charlie Hebdo itu
Ditanya apakah reaksi umum masyarakat Melayu terhadap muka depan majalah Charlie Hebdo itu, Dr Yaacob berkata masyarakat Melayu/Islam secara umum berasa tersinggung, namun beliau berkata mereka memahami perlunya bersikap rasional terhadap isu ini.
Beliau menambah, beliau kagum dengan cara masyarakat memberi respons terhadap isu tersebut.
Dr Yaacob ditemui dalam satu acara pengenalan syarikat baru teknologi yang dianjurkan oleh JFDI Asia di TAB Singapore, Hotel Orchard, hari ini, Jumaat.