YAYASAN Warisan Melayu (MHF) bakal melancarkan portalnya, warisansg.com, sempena bermulanya acara sambutan jubli emas Singapura MHF tahun ini (SG50).
Pelancaran tersebut akan diadakan di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 31 Febuari ini.
Portal dwibahasa itu senang digunakan di mana-mana dan memudahkan masyarakat umum memperolehi akses kepada pelbagai sumber dan rujukan mengenai warisan masyarakat Melayu di Singapura.
Satu permainan digital yang bertemakan warisan Melayu juga telah dihasilkan untuk membawa maklumat tersebut lebih dekat kepada masyarakat umum dengan cara lebih interaktif.
Permainan 'Warisan Enigma' itu merupakan aplikasi permainan puzzle yang membolehkan pengguna mengenali artifak Bumi Melayu dari seawal abad ke-14.
Sementara itu, MHF juga akan menerbitkan sebuah buku bertajuk "Faith, Authority and the Malays" yang merupakan buku ketiga daripada terbitan siri "Singapore Malays: Our Heritage and Legacy."
Buku itu bertujuan memberi gambaran tentang respons umat Islam Singapura terhadap pemodenan dalam konteks negara yang sekular, moden dan juga pluralistik di samping memelihara warisan Islam yang kaya.
Buku tulisan Norshahril Saat, seorang calon doktor falsafah di Universiti Nasional Australia, merupakan salah satu usaha MHF mempertingkatkan dokumentasi warisan masyarakat Melayu.