SEBANYAK 11,934 kes Covid-19 baru dilaporkan kelmarin, lebih dua kali ganda daripada 5,196 kes baru pada hari sebelumnya.
Kes baru kelmarin itu tinggi sedikit berbanding minggu lalu, apabila Singapura mencatat 11,732 kes.
Seramai 661 pesakit Covid-19 kini dirawat di hospital - naik sedikit daripada 490 pesakit minggu lalu.
Daripada jumlah itu, 58 pesakit memerlukan sokongan oksigen dan 14 berada di Unit Jagaan Rapi, tambah Kementerian Kesihatan (MOH).
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, petang kelmarin berkata bilangan Covid-19 terkini itu tidak jauh lebih tinggi berbanding minggu lalu, dan MOH akan terus memantau gelombang wabak itu dengan teliti.
Bilangan kes pada hari Selasa biasanya lebih tinggi berbanding dengan sepanjang minggu kerana ia mencerminkan lonjakan jangkitan selepas hujung minggu, apabila lebih ramai orang berada di luar dalam pelbagai persekitaran sosial.
Orang ramai juga biasanya menangguhkan pergi ke doktor sehingga selepas hujung minggu, katanya.
"Semoga kita hampir atau berada di puncak gelombang itu," tulisnya di Facebook.
Singapura kini mengalami gelombang jangkitan yang didorong oleh varian XBB, sebuah variasi Omicron.
Sabtu lalu, Encik Ong, di satu sidang akhbar, berkata gelombang itu dijangka memuncak pada sekitar 15,000 kes harian menjelang pertengahan November.
MOH telah menggesa warga emas dan orang yang terjejas imuniti agar terus memakai pelitup dalam ruang tertutup yang sesak.
Orang ramai juga tidak harus ke jabatan kecemasan hospital, kecuali mereka mempunyai keadaan kecemasan.
Bagi meringankan beban klinik perubatan umum dan poliklinik di sini, majikan digesa supaya tidak meminta sijil perubatan daripada pekerja yang disahkan positif Covid-19 atau mempunyai simptom jangkitan pernafasan akut.
Daripada kes baru Covid-19 tempatan kelmarin, 10,837 dikesan melalui ujian pantas antigen (ART).
Lagi 716 dikesan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).
Terdapat 381 kes import baru, dengan 15 dikesan melalui ujian PCR dan 366 melalui ART.
Sebanyak lima kematian turut dilaporkan.
Singapura telah mencatat sejumlah 2,029,195 kes Covid-19, dan 1,651 kematian.