Ye Kung: Tiada rancangan untuk gabung poly, universiti atau ITE

ST GALLEN (SWITZERLAND): Pemerintah tiada rancangan untuk menggabungkan politeknik, universiti atau kampus ITE meskipun saiz kohort pelajar merosot, kata Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), Encik Ong Ye Kung.

Ini kerana walaupun saiz kohort itu menguncup antara 10 dengan 15 peratus, institusi-institusi ini masih mempunyai kelompok pelajar yang ramai.

Encik Ong berkata demikian kepada wartawan Singapura malam semalam (pagi Jumaat di Singapura) di Simposium St Gallen di Switzerland, di mana beliau sedang mengadakan lawatan kerja empat hari.

Beliau menarik perhatian bahawa terdapat persoalan ditimbulkan sama ada institusi pengajian tinggi akan bergabung selepas Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan gabungan lapan maktab rendah (JC) pada 2019 ekoran saiz kohort yang mengecil.

"Keadaan bagi ITE, politeknik dan universiti agak berlainan daripada JC," kata beliau.

Menjelaskan, Encik Ong berkata ITE kini mempunyai bilangan pelajar sekitar 15,000 orang di tiga kampus.

Menurutnya, meskipun jika perubahan demografik bermakna perangkaan tersebut boleh merosot sebanyak 10 hingga 12 peratus menjelang 2020 atau 2025, "dengan tiga kampus, kita (masih) mempunyai kelompok yang besar".

Keadaan serupa juga berlaku di lima politeknik dan enam universiti - yang masing-masing mempunyai bilangan 24,500 dan 19,000 pelajar setiap tahun, ujar beliau. - ST