Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Zakat lebih daripada setakat bantu fakir dan miskin

Apr 09, 2022 | 05:30 AM



RAMAI yang bertanggapan bahawa hasil pungutan zakat hanya membantu para fakir dan miskin.



Ada pula yang berpengetahuan bahawa zakat yang dikumpulkan hanyalah sekali dalam setahun, iaitu semasa Ramadan.



Kesemua tanggapan ini perlu diperbetulkan, kata pensyarah di Kolej Islam Muhammadiyah, Ustaz Jafni Rahman.



Menurut beliau, zakat sebenarnya dikumpulkan bagi membantu lapan asnaf yang telah ditentukan mengikut syarak.



Allah swt berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 60 yang berbunyi:



"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."



Dua jenis zakat



Menurut Ustaz Jafni, secara am, terdapat dua jenis zakat - Zakat Harta dan Zakat Fitrah.



Zakat Fitrah yang diwajibkan ke atas setiap Muslim perlu dilunaskan pada bulan Ramadan, sebelum solat Aidilfitri.



Dari Ibnu Abbas ra yang berkata, Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan kotor, dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin.



"Barang siapa yang menunaikannya sebelum solat (Aidilfitri) bererti ini merupakan zakat yang diterima, dan barang siapa yang menunaikannya setelah solat (Aidilfitri) bererti hal itu merupakan sedekah biasa". (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, dan Daru Quthni)



Zakat Harta pula boleh ditunaikan pada bila-bila masa, hatta di luar Ramadan, selagi ia memenuhi syarat yang ditentukan, seperti cukup nisab dan telah disimpan selama setahun hijrah atau istilahnya "cukup haul".



Zakat di Singapura



Ustaz Jafni menjelaskan di Singapura, biasanya zakat harta terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya zakat simpanan, zakat emas dan zakat perniagaan.



Zakat hukumnya wajib bagi setiap Muslim. Ia berbeza daripada sedekah infak mahupun wakaf kerana zakat mempunyai kadar tertentu, iaitu 2.5 peratus daripada jumlah harta yang dimiliki (mengikut nisab).



Di Singapura, kata Ustaz Jafni, kita beruntung kerana wang zakat yang dikumpulkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), selaku Penguasa Zakat Singapura, diagihkan kepada lapan asnaf secara telus, efisien dan sistematik.



Beliau memberikan contoh, program-program agama di masjid-masjid serta program-program pembangunan bagi golongan asatizah di madrasah-madrasah sepenuh masa, turut menerima sentuhan dana zakat.



Semua ini katanya memperkukuhkan institusi tersebut yang akhirnya mampu menawarkan khidmat yang lebih baik untuk masyarakat umum.



Allah swt berfirman lagi dalam Surah At-Taubah, ayat 71:



"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."



Ustaz Jafni berkata daripada ayat di atas, jelas Allah swt menunjukkan bahawa zakat merupakan sebahagian komponen utama bagi seseorang Muslim untuk menerima rahmat daripada Yang Maha Agung.



Ini kerana secara keseluruhan, zakat mampu memberi manfaat kepada seluruh masyarakat - bukan sahaja golongan fakir dan miskin - dan merupakan faktor penting dalam meningkatkan mutu dan potensi kehidupan setiap umat Islam.



Dalam suasana pandemik ini, zakat turut memainkan peranan dalam membantu membangun dan memperkukuhkan masyarakat Islam di Singapura.



Misalnya, pada 2020, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan wang zakat boleh membantu golongan yang terjejas ekoran wabak Covid-19, meskipun buat sementara sahaja.



"Ini kerana terlebih dahulu perlu difahami bahawa objektif zakat itu sendiri adalah untuk membantu dan menjaga kebajikan serta kepentingan masyarakat Islam setempat.



"Demikian hasilnya, tafsiran pada lapan asnaf perlu dikembangkan.



"Dapat kita lihat bahawa zakat bukan sekadar membantu mereka yang dikategorikan dalam fakir dan miskin secara umum, malah ia melebihi bantuan tersebut.



"Intinya, proses zakat dapat mengimbangi kesusahan yang dialami oleh seseorang itu, bukan sahaja kerana beliau fakir atau miskin tetapi lebih daripada itu,'' ujar Ustaz Jafni.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >