Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Zaqy: 600 firma dipantau bagi amalan diskriminasi pekerja

MOM proaktif kenal pasti syarikat, ambil tindakan termasuk dalam permohonan EP
Nov 06, 2019 | 05:30 AM



SEBANYAK 600 firma merentasi pelbagai sektor telah diletakkan di senarai pantauan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sejak 2016 bagi amalan mereka yang mungkin mendiskriminasi pekerja Singapura.



Ini didedahkan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen kelmarin.



"MOM secara proaktif mengenal pasti syarikat dengan profil tenaga kerja yang menunjukkan mungkin ada diskriminasi terhadap warga Singapura, seperti mempunyai bilangan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) asing yang tinggi berbanding syarikat lain dalam industri sama, atau bilangan amat tinggi pekerja daripada satu negara," kata Encik Zaqy.



Tambahnya, MOM turut memantau permohonan pas pekerjaan (EP), dengan sebanyak 2,300 EP telah ditolak atau ditahan, atau ditarik balik oleh majikan.



Encik Zaqy berkata demikian semasa memberikan hujah bagi usul penangguhan mengenai meningkatkan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (Tafep) dalam menangani diskriminasi tempat kerja.



Usul itu dibentangkan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) dan Encik Desmond Choo (GRC Tampines).



Antara isu yang dikemukakan Encik Saktiandi dan Encik Choo di akhir sesi parlimen kelmarin termasuk menamakan dan memalukan syarikat yang didapati mempunyai amalan diskriminasi dalam pengambilan pekerja.



Mereka turut menimbulkan isu pekerja matang, dengan mencadangkan syarikat menetapkan sasaran bagi menggajikan pekerja lebih berusia untuk mengikuti perkembangan semasa tenaga kerja semakin menua di sini.



Encik Saktiandi menyatakan bahawa data baru-baru ini menunjukkan kadar pengangguran, setelah mengambil kira faktor musiman, suku tahunan bagi pekerja berusia 50 tahun ke atas telah meningkat sedikit, walaupun kadar pengambilan bekerja pekerja lebih berusia telah meningkat banyak sepanjang tahun lalu.



"Situasi sedang bertambah baik, tetapi segmen demografi (pekerja lebih berusia) mungkin lebih mudah terjejas dan perlu dipantau dari masa ke masa," tambahnya.



Encik Saktiandi juga menggesa Parlimen supaya memperkukuh Tafep untuk menentang amalan diskriminasi.



Beberapa majikan tidak mengikuti perkembangan semasa, menyebabkan warga lebih berusia menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan selama lebih setahun, tambahnya.



Pemohon lebih berusia mempunyai kelayakan, dan mereka telah menjalani kursus dan sesi suai kenal untuk memperbaiki diri mereka.



Namun, Encik Saktiandi berkata mereka jarang dapat ditemu ramah.



Encik Choo turut memberitahu Parlimen bahawa beberapa majikan berlaku tidak adil kepada pekerja lebih berusia atau membuatkan kerja terlampau sukar supaya mereka akan berhenti pekerjaan.



Encik Saktiandi dan Encik Choo berkata langkah bukan undang-undang boleh diambil untuk menentang diskriminasi di tempat kerja, kerana undang-undang mungkin menghalang pengambilan bekerja.



Encik Saktiandi mencadangkan bahawa skim pensijilan yang memberi ganjaran kepada syarikat yang inklusif tidak kira usia, seperti yang dilakukan Austria, adalah lagi satu cara untuk menangani diskriminasi umur.



Menjawab soalan dua AP itu, Encik Zaqy berkata pengambilan bekerja pekerja lebih berusia telah meningkat, meskipun terdapat majikan yang menggunakan taktik (tidak wajar).



"Lebih ramai warga Singapura lebih berusia diambil bekerja hari ini berbanding sebelum ini.



"Kadar pengangguran pekerja berusia 50 tahun ke atas juga secara konsisten lebih rendah daripada kadar keseluruhan," katanya.




"MOM secara proaktif mengenal pasti syarikat dengan profil tenaga kerja yang menunjukkan mungkin ada diskriminasi terhadap warga Singapura, seperti mempunyai bilangan PMET asing yang tinggi berbanding syarikat lain dalam industri sama, atau bilangan amat tinggi pekerja daripada satu negara."
- Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad.



"Situasi sedang bertambah baik, tetapi segmen demografi (pekerja lebih berusia) mungkin lebih mudah terjejas dan perlu dipantau dari masa ke masa."
- Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >