Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Zaqy: Gaji progresif peluang pertingkat pekerja gaji rendah

Bukan sekadar naik gaji tapi tambah kemahiran bagi lakukan peranan lain, tambah produktiviti
Nov 17, 2022 | 05:30 AM



ISU operasi dan pelaksanaan gaji progresif bagi pekerja bergaji rendah di tengah-tengah keadaan ekonomi mencabar dan soal produktiviti adalah antara keprihatinan yang diketengahkan majikan dalam satu dialog semalam.



Dialog itu, anjuran Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) di hotel Furama City Centre, membincangkan tentang langkah-langkah gaji progresif dan meliputi topik mengenai cara pemerintah dan rakan tiga pihak boleh bekerjasama untuk mempertingkat golongan bergaji rendah sambil mengekalkan kemampanan perniagaan.



Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, menjadi ahli panel dialog itu, sementara naib presiden Snef, Encik Tan Hee Teck, moderatornya.



Lebih 100 orang, merangkumi eksekutif dan pengurus sumber manusia (HR), terutamanya daripada sektor makanan dan minuman (F&B), hospitaliti dan runcit, menyertai dialog itu.



Menjawab soalan di dialog itu, Encik Zaqy berkata langkah gaji progresif bukan satu cara bagi pekerja bergaji rendah mendapat kenaikan gaji sahaja, malah satu peluang baik bagi majikan meneliti cara mempertingkat kemahiran pekerja mereka.



"Dengan kenaikan gaji, adalah baik untuk lihat bagaimana anda boleh mempertingkat kemahiran mereka, melatih mereka bagi peranan kerja lain yang boleh mereka lakukan untuk menjadi lebih produktif.



"Prinsip kami ialah ia bukan mengenai gaji sahaja, tetapi gaji dengan produktiviti. Ini kerana kita tidak boleh sekadar memberi gaji lebih dan anda hanya melakukan kerja sama. Kita perlu memikirkan cara memanfaatkan sepenuhnya bakat pekerja dan kemudian anda boleh mencari peranan lain atau malah, mengajar mereka alat baru," kata beliau.



Encik Zaqy menambah bahawa ada tiga peringkat untuk mengecapi produktiviti - melalui latihan pekerja, transformasi perniagaan dan transformasi industri.



Beliau berkata pelbagai subsidi pemerintah disediakan bagi pekerja menjalani latihan untuk mempertingkat kemahiran, yang seterusnya membolehkan pekerja itu melakukan kerja dan peranan lain untuk menambahkan produktiviti.



Di peringkat perniagaan, syarikat boleh melakukan transformasi.



Encik Zaqy berkata sektor keselamatan, misalnya, telah melabur dalam automasi dan teknologi, seperti memasang sensor dan kamera, yang membolehkan tugas dilakukan dengan lebih bijak dan tanpa memerlukan ramai pekerja.



Di peringkat industri pula, Encik Zaqy berkongsi contoh bagaimana industri perkilangan menjalani transformasi dengan memanfaatkan automasi, yang seterusnya dapat mencatatkan daya pemprosesan lebih baik.



Sejak September, sekitar 197,000 pekerja warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) bergaji rendah yang bekerja sepenuh masa meraih manfaat daripada langkah-langkah gaji progresif baru.



Ini termasuk syarat Kelayakan Gaji Setempat (LQS) baru, Model Gaji Progresif (PWM) yang diperkenal bagi pekerja runcit dan juga bagi pekerja pembersihan, keselamatan dan landskap bukan daripada sumber luar.



Dalam usaha membantu majikan, pemerintah mengumumkan Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) semasa Belanjawan tahun ini untuk membiayai bersama kos kenaikan gaji.



Namun, beberapa peserta dialog berpendapat banyak lagi boleh dilakukan untuk menyokong perniagaan, termasuk dalam latihan pekerja.



Antara soalan yang ditanya ialah apakah latihan lebih khusus bagi sektor atau industri boleh diadakan untuk pekerja berbanding latihan umum yang ada sekarang.



Walaupun bersetuju ada merit bagi sesetengah latihan khusus untuk sektor tertentu diadakan, Encik Zaqy berkata jika dilihat pada segmen pekerja bergaji rendah, kebanyakan kursus sedia ada dapat memenuhi keperluan latihan pekerja.



Misalnya, tugas pembersihan yang dilakukan dalam sektor perkilangan atau pusat beli-belah tidak banyak perbezaannya, kata beliau.



Namun, dari segi aspek perniagaan, mungkin ada perbezaan dalam soal keselamatan apabila bekerja dalam sektor perkilangan berbanding pusat beli-belah, dan latihan keselamatan boleh diadakan dalam sektor tertentu, tambahnya.



"Ini boleh diusahakan. Jika terdapat bidang, perkara tertentu yang kami perlu pertingkat, kami bersedia mendengar dan mengemukakannya kepada SkillsFuture Singapura untuk melihat cara terbaik menyesuaikan beberapa latihan ini," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >