MENTERI Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Zaqy Mohamad mengesahkan lagi hubungan Singapura dengan Brunei dan Britain minggu ini.
Encik Zaqy telah bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Singapura, Dato Paduka Haji Sidek Ali serta Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Cik Kara Owen.
Semasa bertemu dengan Dato Sidek, Encik Zaqy berkata mereka mengesahkan lagi hubungan dua hala yang istimewa dan sudah lama terjalin antara Singapura dengan Brunei.
Hubungan itu dikukuhkan lagi dengan hubungan pertahanan yang utuh antara kedua-dua negara.
"Saya mengalu-alukan untuk menyambut ulang tahun ke-45 hubungan pertahanan Singapura dengan Brunei tahun ini.
"Dato Sidek dan saya berbincang tentang kerjasama meluas antara dua pasukan pertahanan kita, termasuk latihan dua hala, pertukaran profesional, dialog dasar dan saling penyertaan kursus.
"Interaksi sedemikian telah memupuk saling persefahaman, keupayaan saling boleh kendali dan persahabatan yang kukuh antara pegawai kedua-dua negara," ujarnya.
Dalam pada itu, Encik Zaqy berkata beliau juga telah bertemu dengan Cik Owen sehari selepas Britain menerbitkan Integrated Review, yang membentangkan visi negara itu bagi Britain yang bersifat global serta keutamannya dalam bidang keselamatan nasional dan dasar antarabangsa.
"Cik Owen dan saya mengesahkan hubungan pertahanan yang baik dan sudah lama terjalin antara Singapura dengan Britain serta komitmen kami kepada Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
"Kami juga berbincang tentang perkembangan geopolitik serantau serta kerjasama tentera dua hala dan pertukaran profesional," ujarnya menerusi laman Facebook beliau semalam.
Encik Zaqy berkata beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan antara Singapura dengan negara itu.