ZON solat di masjid yang dilaksanakan untuk memudahkan usaha penjarakan selamat semasa pandemik Covid-19 akan ditiadakan mulai 1 April ini.
Sementara itu, masjid-masjid juga akan menawarkan dua sesi solat Jumaat mulai hari yang sama, dengan tempahan hanya diperlukan untuk sesi pertama.
Ini merupakan antara perubahan baru yang bakal diperkenalkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) seiring dengan langkah pemerintah melonggarkan sekatan di dalam negara, setelah ancaman jangkitan Covid-19 kini semakin reda.
Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen Mohamed, turut mengumumkan Muis dan masjid-masjid akan mengambil langkah perlu agar dapat membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat berjemaah di masjid.
Ini sejajar dengan langkah Pemerintah menaikkan had kapasiti bagi acara besar de ngan lebih 1,000 orang kepada 75 peratus, berbanding 50 peratus sebelum ini.
“Muis dan masjid telah bekerjasama untuk menyambut lebih ramai jemaah. Dua minggu yang lalu, kami melonggarkan keperluan jarak selamat dengan merapatkan saf ketika solat.
“Dengan pengumuman terbaru mengenai pelonggaran lanjut langkah jarak selamat (SMM), Muis dan masjid-masjid akan berusaha ke arah kapasiti 75 peratus untuk solat berjemaah di masjid kita,” kata Encik Kadir ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Kassim pada Jumaat (25 Mac).
Dengan tiadanya lagi zon-zon solat di masjid, Encik Kadir menjelaskan bahawa para jemaah hanya perlu solat di kawasan solat yang ditetapkan. Kawasan solat ini akan membolehkan masjid memastikan langkah jarak selamat dan had kapasiti yang ditetapkan terus dipatuhi, menurut beliau lagi.
Perubahan yang akan dikuatkuasakan pada Jumaat depan juga membolehkan para jemaah langsung ke masjid-masjid sekitar Singapura bagi menunaikan solat Jumaat tanpa perlu membuat sebarang tempahan.
Namun begitu, perubahan terhadap sistem tempahan solat Jumaat ini hanya khusus untuk sesi kedua dan ianya bergantung kepada ruang yang sedia ada.
Dengan perubahan ini, Encik Kadir berharap masyarakat Islam di sini dapat memberikan kerjasama agar memberi peluang kepada mereka yang mempunyai masa terhad semasa waktu makan tengah hari untuk membuat tempahan dan menghadiri sesi pertama solat Jumaat.
“Bagi mereka yang mempunyai masa luang yang agak panjang, saya ingin menggalakkan mereka untuk menghadiri sesi kedua.
“Para pelajar sekolah juga digalakkan untuk menghadiri sesi kedua selepas habis waktu sekolah,” ujar beliau.