INGIN memulakan gaya hidup sihat dengan cara menarik?
Ayuh mari hadir ke Arena@Our Tampines Hub (OTH) bagi acara senaman zumba beramai-ramai, Sabtu ini.
Acara zumba anjuran Berita Harian (BH), OTH dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) kali ini bakal dipimpin oleh pengendali rutin zumba dan jurulatih dari kumpulan Nawal Haddad Fitness.
Pemimpin kumpulan tersebut, Cik Nawal Alhaddad, berkata penjagaan kesihatan tubuh sangat penting, namun masyarakat kini lebih banyak mengabaikannya dek kesibukan bekerja.
Lantaran itu, acara senaman zumba ini, yang akan bermula 8.30 pagi, adalah salah satu cara menarik bagi memastikan orang ramai tetap bersenam, selain dapat menghimpunkan pelbagai rentak dan muzik dengan gabungan tarian tertentu.
"Faktor ini menjadikannya sebagai pergerakan senaman cukup berkesan bagi membina kekuatan otot, mengurangkan berat badan dan merangsang kesihatan badan," kata Cik Nawal.
Selain Cik Nawal, beberapa jurulatih zumba berpengalaman juga bakal mengetuai kumpulan peserta yang berkunjung di sana nanti.
Mereka yang berminat, sila hadir ke acara ini bersama rakan atau keluarga.
Tiada bayaran dikenakan dan peserta hanya perlu memakai pakaian senaman yang sesuai.
Acara 'Sihat Berzumba' pertama kali diadakan pada September tahun lalu.
Selepas acara tersebut, BH dan OTH giat menganjurkan acara susulan, termasuk senaman aerobik dan demonstrasi memasak makanan sihat.