MULAI hari ini, sekitar 1,000 posmen akan menghantar 10 kit ujian pantas antigen (ART) kepada setiap isi rumah di Singapura.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan menghantarnya melalui SingPost, menjadikannya lebih mudah bagi orang ramai menguji diri mereka secara berkala di rumah.

Pengagihan itu dibuat buat kali kedua, tatkala Singapura mencatat 3,994 jangkitan Covid-19 baru pada Selasa.

Kelmarin, MOH berkata kelonjakan dalam jumlah kes Covid-19 telah memberi tekanan besar kepada hospital awam di sini, dengan 67 peratus katil unit rawatan rapi digunakan.

Meskipun Singapura akan melanjutkan sekatan Covid-19 hingga 21 November, ia juga akan meningkatkan usaha dalam menjalankan ujian, dengan murid sekolah rendah harus mengambil ART setiap dua minggu sehingga sekolah ditutup untuk cuti bulan depan.

Bagi memastikan orang ramai mempunyai kit ART yang mencukupi, SingPost memberitahu The Straits Times bahawa pihaknya akan mengerahkan posmen mereka untuk bekerja pada hari Sabtu, di samping minggu kerja lima hari mereka.

SingPost berkata: "Syif pada hari Sabtu akan dikhususkan untuk menghantar kit ART, berbanding dengan pusingan hari kerja di mana posmen perlu menghantar surat-menyurat seperti biasa."

Pada hari bekerja, perkhidmatan pos nasional akan menghantar 60,000 kit ART di samping penghantaran surat biasa.

Setiap penghantaran termasuk dua kotak yang mengandungi lima kit ART.

Pada hari Sabtu, posmen akan dapat menyempurnakan sehingga 100,000 penghantaran sedemikian.