Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

100 Hari Menentang Covid-19: Warga S'pura Tenang dan Bertimbang Rasa: DPM Heng

May 3, 2020 | 7:03 PM
SEMANGAT CEKAL WARGA SINGAPURA DIHARGAI: Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang mengimbas pengalaman 100 hari Singapura menentang Covid-19 tersentuh dengan jiwa masyarakat penduduk Singapura dalam berdepan dengan ujian wabak koronavirus. - Foto FAIL
SEMANGAT CEKAL WARGA SINGAPURA DIHARGAI: Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang mengimbas pengalaman 100 hari Singapura menentang Covid-19 tersentuh dengan jiwa masyarakat penduduk Singapura dalam berdepan dengan ujian wabak koronavirus. - Foto FAIL -

BANYAK pengajaran yang dipelajari pemerintah dan warga Singapura sepanjang 100 hari mengharungi wabak Covid-19.

Namun, di sebalik segalanya, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, tersentuh warga Singapura rata-rata kekal tenang dan bertimbang rasa sepanjang ujian ini.

Ini yang dilahirkannya dalam wawancara bersama The Straits Times dalam mengimbas semula perjalanan 100 hari Singapura menentang Covid-19.

Katanya yang juga Menteri Kewangan dan penasihat pasukan bertindak berbilang kementerian yang ditugaskan menangani pandemik ini: "Ramai telah menyumbang pada pertarungan (menentang Covid-19) dalam pelbagai cara - kami melihat tambahan tujuh kali ganda dari segi sumbangan wang; ramai yang menawarkan khidmat mereka secara sukarela sebagai duta jarak selamat, di institusi jagaan kesihatan kita atau dalam mendekati warga emas yang tinggal seorang diri.

"Semangat 'Singapore Together' (Singapura Bersama) memancar dalam masa sukar ini dan saya percaya ia akan terus berkembang di luar tempoh krisis ini.

"Pekerja kita di barisan hadapan - dalam institusi jagaan kesihatan, di pusat pemeriksaan imigresen serta pasukan yang menyokong pekerja asing di dormitori - kesemuanya amat berdedikasi.

"Pihak media juga memainkan peranan amat penting dalam menyediakan maklumat tepat, membantu setiap orang memahami banyak aspek kompleks dalam cabaran ini serta mengemukakan kisah individu dengan sikap bertanggungjawab mahupun yang tidak bertanggungjawab," kata Encik Heng.

Pada akhirnya, beliau berpendapat cara warga Singapura bertindak secara kolektif sebagai satu negara akan menentukan kejayaan menangani musuh yang tidak dapat dilihat ini - sejenis virus mikroskopik.

"Virus ini tidak menghormati sebarang sempadan dan akan menyerang kita menerusi hubung kait paling lemah. Justeru itu, kita harus kekal bersatu," jelasnya.

Antara pengajaran yang dipelajari daripada pengalaman memerangi wabak Covid-19 ini adalah virus ini sangat tangkas dan akan merebak cepat jika tidak dikekang.

Terlalu awal juga bagi menentukan berapa lama pandemik ini akan berterusan secara global.

Justeru itu, secara psikologi, Singapura harus bersedia melawan virus ini dalam satu perjuangan panjang kerana kita belum lagi keluar dari masalah ini.

Namun, Singapura, ujar Encik Heng, memiliki kekuatan dan kecekalan serta sumber fiskal bagi menguruskan situasi ini.

Kedua, Singapura juga mempelajari bahawa di merata dunia, beberapa negara menikmati kejayaan yang dapat mengekang merebaknya wabak ini. Sungguhpun begitu, negara-negara ini juga prihatin jika timbul semula wabak ini sejurus langkah-langkah kawalan dan pengekangan ini dilonggarkan.

"Negara lain terkejut meskipun memiliki sumber dan kepakaran terbaik. Kita tidak harus menganggar kurang ancaman virus ini," kata Encik Heng.

Secara menyeluruh, Singapura berjaya dalam beberapa aspek - kadar kematian kekal rendah; keupayaan mengusahakan ujian Covid-19 diperkukuh; sistem jagaan kesihatan teruji tetapi berfungsi dengan baik dibantu kakitangan berdedikasi. Hubungan rapat dengan pakar merata dunia juga dijalinkan dengan maklumat terkini disampaikan kepada orang ramai menerusi wadah Gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg