SERAMAI 1,000 warga emas di daerah barat daya Singapura akan menerima pek jagaan berisi keperluan seperti makanan dan barangan rumah lain supaya mereka tidak perlu keluar rumah bagi mendapatkan barangan tersebut.
Barangan itu diagihkan oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South West dan Procter & Gamble (P&G) Singapura bagi menggalak warga emas, yang lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19, duduk di rumah sebagai langkah berjaga-jaga walaupun pemutus rantaian jangkitan telah berakhir dan sekolah serta beberapa perniagaan dibuka semula. Dalam satu kenyataan semalam, CDC itu berkata Pek Jagaan Penting South West tersebut diberikan kepada benefisiari dari Agensi Khidmat Sosial (SSA) dan juga 2,000 kakitangan barisan depan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan pengangkutan. Sebanyak 500 set produk pembersihan juga akan diagihkan kepada SSA dan prasekolah untuk memastikan sekitaran kekal bersih selepas dibuka semula. "Pek jagaan ini adalah lebih daripada sekadar barangan penting. Ia menunjukkan kesatuan dan perpaduan masyarakat kita berganding untuk membantu mereka yang berisiko, " kata Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg