Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,018 pesakit Covid-19 dibenar pulang dari hospital, kemudahan jagaan masyarakat

May 29, 2020 | 12:26 AM
Lagi 1,018 pesakit Covid-19 telah dibenarkan pulang daripada hospital dan kemudahan jagaan masyarakat - Foto FAIL ST
Lagi 1,018 pesakit Covid-19 telah dibenarkan pulang daripada hospital dan kemudahan jagaan masyarakat - Foto FAIL ST -

LAGI 1,018 pesakit Covid-19 telah dibenarkan pulang daripada hospital dan kemudahan jagaan masyarakat, kata Kementerian Kesihatan (MOH) malam Khamis (28 Mei).

Ini menjadikan pesakit Covid-19 yang telah sembuh sejumlah 18,294 pesakit kesemuanya.

MOH berkata, sebanyak 373 kes jangkitan baru dikesan sehingga 12 tengah hari Khamis.

Daripada kes baru itu, sejumlah 372 kes melibatkan pemegang Permit Kerja yang menginap di asrama, kata MOH dalam kenyataannya.

Tidak ada kes melibatkan warga Singapura ataupun Penduduk Tetap.

Hanya satu kes melibatkan pemegang pas kerja.

Secara keseluruhannya seramai 33,249‬ telah disahkan positif Covid-19 di Singapura sejauh ini.

Dalam pada itu, MOH mengesahkan 13 kakitangan prasekolah telah diuji positif bagi Covid-19 sejak pemeriksaan aktif bagi golongan itu dijalankan bulan ini.

Lebih 39,000 kakitangan prasekolah telah mengambil ujian swab itu.

Namun, ujian lanjut menunjukkan 11 daripada kes tersebut merupakan jangkitan lama dan anggota kakitangan sudah pun sembuh.

Ini bermakna mereka tidak lagi berjangkit, tambahnya.

Ujian serologi, yang mengesan antibodi untuk menunjukkan sekiranya seseorang telah dijangkiti virus, masih dijalankan bagi dua baki pesakit.

Kementerian itu juga mengenal pasti dua kelompok baru di asrama di 15 Kaki Bukit Road 4 dan 31 Kranji Crescent.

Sehingga Khamis, seramai 510 masih dirawat di hospital, termasuk tujuh di unit jagaan rapi.

Sejumlah 14,422 pesakit pula berada di kemudahan masyarakat.

Seramai 23 pesakit Covid-19 telah meninggal dunia akibat komplikasi penyakit tersebut.

Sembilan yang lain yang diuji positif Covid-19 pula meninggal dunia atas sebab-sebab lain.

Dalam sidang akhbar maya pasukan bertindak berbilang kementerian pada Khamis, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata fasa kedua pembukaan semula Singapura daripada tempoh pemutus litar boleh bermula sebelum akhir bulan Jun.

Tetapi ini bergantung pada tahap penyebaran Covid-19 dalam masyarakat, tambahnya.

Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong, dalam sidang akhbar yang sama, pula mengumumkan bahawa pasukan bertindak telah menyemak semula kriteria membenarkan pesakit pulang.

Dengan serta-merta, semua pesakit koronavirus yang diperiksa sihat secara klinikal dan tidak lagi berjangkit pada hari ke-21 sejak menunjukkan simptom penyakit akan dibenarkan pulang tanpa menjalani ujian lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg