Topik diikuti
Pergi ke BHku11,732 kes Covid-19 baru namun kes serius kekal rendah
11,732 kes Covid-19 baru namun kes serius kekal rendah
TERDAPAT 11,732 jangkitan Covid-19 baru kelmarin, naik dua kali ganda berbanding 4,719 kes tempatan pada hari sebelumnya.
Peningkatan itu, walaupun sebahagian akibat varian XBB, satu lagi subvarian Omicron, tidak menyebabkan banyak kes serius, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
MOH juga sedang mengambil tindakan daripada Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) terhadap khabar angin yang tersebar di WhatsApp menyatakan Singapura mengalami kes peningkatan jangkitan dengan penyakit teruk dan kematian akibat varian XBB.
MOH berkata: "Jumlah kes serius kekal rendah. Ini mungkin disebabkan oleh daya tahan yang dibina melalui vaksinasi dan jangkitan sebelum ini."
MOM menambah kebanyakan pesakit melaporkan simptom ringan seperti sakit tekak atau demam, terutama jika mereka sudah divaksin.
Terdapat 11 kes di Unit Jagaan Rapi (ICU) dan 50 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen.
MOH berkata jumlah ini hanya naik sedikit berbanding jumlah yang diperhatikan selama beberapa bulan lalu.
Sebagai perbandingan, semasa kemuncak gelombang Delta sebelum ini, 171 pesakit dimasukkan ke wad dan 308 pesakit memerlukan bantuan oksigen, manakala semasa kemuncak gelombang Omicron, 54 pesakit dimasukkan ke wad ICU dan 242 memerlukan bantuan oksigen.