Topic followed successfully
Go to BHku17 penyedia khidmat jagaan kesihatan dilantik kendali pusat, pasukan bergerak vaksinasi Covid-19
17 penyedia khidmat jagaan kesihatan dilantik kendali pusat, pasukan bergerak vaksinasi Covid-19
17 penyedia khidmat jagaan kesihatan dilantik kendali pusat, pasukan bergerak vaksinasi Covid-19
SEBANYAK 17 penyedia khidmat jagaan kesihatan, termasuk Raffles Medical, Parkway Shenton dan Thomson Medical, telah dilantik Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menubuhkan dan mengendali 36 pusat vaksinasi baru dan 10 pasukan vaksinasi bergerak.
Langkah ini dilaksanakan menjelang permulaan vaksinasi Covid-19 beramai-ramai bagi warga emas Isnin ini, menyusuli program perintis bagi warga emas di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar.
Menurut dokumen yang dilihat akhbar The Straits Times, tender itu, yang bernilai $38 juta, diberi kepada 17 penyedia khidmat tersebut pada 11 Februari. Ia menyatakan pusat vaksinasi yang bakal ditubuhkan harus mampu mengendalikan sekurang-kurangnya 2,000 orang setiap hari.
Pusat dan pasukan bergerak itu akan ditubuhkan secara berperingkat dan bilangan yang diperlukan boleh berubah.
Pengendali khidmat lain yang menerima tender mengendalikan pusat vaksinasi termasuk Sata CommHealth, Fullerton Healthcare Group dan Healthway Medical Group. Sebanyak 21 pengendali khidmat membuat tawaran bagi tender itu.
Dua daripada 17 pengendali khidmat yang dilantik itu, Acumed Medical dan perusahaan sosial Jaga-Me, akan menyediakan pasukan vaksinasi bergerak di tempat seperti rumah jagaan kesihatan dan orang tua.
Tempat yang dikenal pasti sebagai pusat vaksinasi termasuk bangunan sekolah tidak digunakan, kelab masyarakat dan dewan sukan. Mereka dijangka beroperasi hingga 12 bulan dan harus beroperasi dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, termasuk pada hujung minggu dan hari cuti umum.
Pasukan vaksinasi bergerak pula akan dibentuk oleh doktor perubatan, empat jururawat dan tiga kakitangan pentadbiran.
Ia dijangka mengendalikan operasi dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Encik Sugumaran Subramanyam, ketua operasi dan urusan korporat di Sata CommHealth, memberitahu akhbar itu pihaknya dilantik mengendalikan dua pusat vaksinasi dan dua pasukan vaksinasi bergerak.
Pasukan bergerak mereka sudah memulakan operasi sejak Isnin lalu dan ia telah menjalankan vaksinasi bagi 400 orang dalam tempoh empat hari.
Bilangan orang yang boleh menerima vaksin menerusi khidmat dua pasukan bergerak yang disediakannya dijangka bertambah kepada 300 orang sehari, kata Encik Sugumaran.
MOH berkata dalam tendernya bahawa pengendali yang dilantik akan membentuk sebahagian panel sumber vaksinasi Covid-19 dan vendor lain atau sumber dalaman boleh diarah memberi vaksin jika sesuai dan diperlukan.
Sebelum ini, pemerintah mengumumkan bahawa setiap daripada 24 bandar di Singapura akan mempunyai sebuah pusat vaksinasi masyarakat pada akhir bulan depan, sedang negara ini meningkatkan usaha vaksinasi Covid-19.

