Penyedia khidmat korban setempat yang menawarkan ibadah tersebut di Palestin, khususnya Gaza yang dilanda perang dan krisis kemanusiaan, telah menerima tempahan yang memberangsangkan daripada masyarakat Islam di sini.
Ini meskipun terdapat kemungkinan ibadah korban itu tidak dapat dijalankan sekiranya ketegangan meruncing di wilayah itu dan pengusaha korban perlu menoleh kepada pelan sandaran yang telah dibuat.
Pelan sandaran itu termasuk menjalankan ibadah korban di luar Gaza dan menghantar daging ke wilayah itu pada masa yang lebih sesuai, menggantikan dengan pakej korban di negara lain yang sama nilainya, atau mengirimkan daging ke perkhemahan pelarian Palestin di negara berdekatan.
Antara syarikat yang membuka tempahan bagi ibadah korban di Gaza pada 2024 ialah Al Ustaz yang telah menawarkan kambing pada harga $517 seekor.
Pengasas bersama syarikat itu, Encik Mohamed Shah Reza, berkata sejauh ini, sekitar 80 kambing telah ditempah untuk dikorbankan di Gaza, lebih separuh daripada 150 slot yang dibuka untuk pakej korban tersebut.
“Sejauh ini, sambutan daripada masyarakat sangat menggalakkan. Pada tahun ini (2024), permintaan untuk khidmat korban di Palestin, khususnya Gaza, melebihi kadar tahun lalu (2023) kerana mungkin dipengaruhi oleh kesedaran yang meningkat mengenai krisis kemanusiaan di Gaza,” katanya sambil menambah penyembelihan haiwan akan dijalankan di Khan Younis dan Rafah, sama seperti yang dilakukan pada 2023.
Syarikat Sofee Initiative juga mendapati sambutan bagi 2024 adalah baik, dengan tempahan bagi 30 kambing diterima sejauh ini.
“Tempahan kali ini boleh dikatakan tinggi untuk pakej Palestin berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kami tidak meletakkan had kepada tempahan yang boleh diterima,” kata pengasas, Ustaz Mohammad Khairi Nazron, yang menawarkan kambing pada harga $490 seekor.
Syarikat Ibadah Korban SG, yang menawarkan pakej korban di Gaza pula telah menerima lebih kurang 50 tempahan bagi kambing yang ditawarkan pada harga $650 seekor, naik hampir dua kali ganda berbanding $380 tahun sebelumnya.
Syarikat itu turut menawarkan pakej korban lembu pada harga $4,100 dan unta pada harga $4,400 seekor.
Pengasasnya, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Amin, berkata penyembelihan akan dilakukan di Rafah dengan kerjasama sekolah di sana.
“Kami telah menerima permintaan dari warga Singapura sejak Ramadan. Tetapi bilangan tempahan tahun ini (2024) sedikit sahaja kerana saya membukanya pada skala kecil disebabkan ketidakstabilan keadaan,” katanya.
Syarikat Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd pula telah menerima sekitar 50 tempahan bagi pakej korban Palestin yang ditawarkannya.
Kambing yang ditempah bagaimanapun tidak akan disembelih di Palestin.
Sebaliknya, pelanggan diberi pilihan sama ada untuk daging kambing yang disembelih di Australia dihantar sepenuhnya ke Palestin pada harga $330 seekor, atau dua pertiga dihantar ke Palestin dan baki sepertiga dihantar ke Singapura pada harga $335 seekor.
Pengarahnya, Cik Nabilah Bagarib, berkata pada 2021, syarikatnya melakukan penyembelihan kambing di Palestin dan pakej itu mendapat sambutan baik daripada pelanggan walaupun harganya lebih tinggi berbanding lokasi lain seperti Yemen atau Indonesia.
“Disebabkan konflik yang meningkat, kami terpaksa menghentikan pakej itu. Tetapi tahun ini (2024) kami bekerjasama dengan syarikat yang mempunyai pengalaman melakukan penghantaran daging dari Australia ke Palestin.
“Kambing itu akan disembelih di Australia dan dihantar melalui kapal ke Pelabuhan Ashdod di Israel atau Pelabuhan Aqaba di Jordan,” katanya yang tidak meletakkan had bagi bilangan kambing untuk ditempah.
Encik Shah Reza berkata antara cabaran yang dihadapi dalam menguruskan ibadah korban di Palestin pada 2024 ialah bekalan terhad dan suasana pasaran tidak menentu yang menyebabkan harga kambing “melonjak naik”.
“Keadaan ini menyebabkan harga yang ditawarkan kepada orang ramai terpaksa dinaikkan sedikit. Walaupun begitu, Al Ustaz mengambil keputusan untuk menyerap sebahagian kos operasi bagi memastikan harga khidmat korban di Gaza masih tetap dimampui dan terjangkau oleh masyarakat,” katanya.
Cabaran lain termasuk menunggu keadaan pergerakan sempadan yang kembali normal dan isu keselamatan.
“Tetapi kami yakin dapat melaksanakan amanah khidmat korban di Gaza kerana rakan kerja antarabangsa kami di lapangan mempunyai rangkaian dan pengalaman luas dalam menjalankan tugas di kawasan yang terjejas oleh krisis,” kata Encik Shah Reza yang menambah haiwan korban akan diperolehi dari dalam dan luar Gaza.
Cik Nabilah pula berkata pihaknya tidak dapat menawarkan pakej penyembelihan haiwan di Palestin kerana ketegangan yang berlaku di sana kini menyukarkan operasi dan logistik.
Mendapatkan haiwan yang bermutu untuk dikorbankan juga amat mencabar, tambahnya.
“Memandangkan keadaan semasa, kami perlu bersikap realistik dan pilihan terbaik untuk kami sekarang ialah melalui operasi ini.
“Kami juga berharap untuk mengirimkan daging itu kepada penduduk di Gaza tetapi apa yang telah dilakukan dengan berjaya selama beberapa tahun lalu dengan rakan kongsi kami ialah untuk mengirimkan daging itu ke Tebing Barat,” kata Cik Nabilah.
“Penghantaran melalui kapal akan mengambil masa sekitar 40 hingga 50 hari untuk tiba di Palestin dan lagi 30 hingga 45 hari untuk pelepasan dan paperwork,” tambahnya.
Sekiranya keadaan semakin meruncing hingga penyembelihan haiwan tidak dapat dijalankan, Encik Shah Reza berkata dasar sedia ada syarikat Al Ustaz adalah untuk menawarkan ibadah korban dijalankan di negara lain yang sama nilainya.
“Kami mendapatkan keizinan daripada pelanggan untuk mengambil keputusan yang terbaik sekiranya keadaan memerlukan sebarang perubahan pada saat-saat akhir untuk menjayakan ibadah ini dengan lebih sempurna,” katanya.
Cik Nabilah pula berkata jika kiriman daging korban dari Australia tidak dapat disampaikan kepada penduduk Palestin di Tebing Barat atau Gaza, penghantaran itu akan dilencongkan ke Jordan untuk diagihkan kepada pelarian Palestin di sana.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu saudara kita di Palestin dan berharap usaha kami akan membuahkan hasil, insya-Allah,” katanya.
Worldwide WAQ by BNiaga Pte Ltd, yang menawarkan kambing dan lembu untuk dikorbankan di Palestin, masing-masing pada harga $540 dan $3,780 seekor, pula memaklumkan pelanggan tentang tiga kemungkinan yang boleh berlaku bagi pakej korban itu.
Haiwan yang ditempah sama ada akan disembelih dan diagihkan di Gaza, atau disembelih di luar Gaza dan dihantar masuk kemudian pada tarikh yang sesuai, atau disembelih dan diagihkan di kem perlarian penduduk Palestin di Jordan.
Encik Amin pula berkata sekiranya keadaan di Gaza menjadi tidak stabil atau ibadah korban tidak dapat dijalankan, pihaknya akan memberi pilihan kepada pihak terbabit agar wang yang telah dibayar untuk ibadah korban digantikan dengan membeli barangan keperluan untuk penduduk, ibadah korban di Gaza ditangguhkan ke tahun seterusnya atau wang dikembalikan kepada pelanggan.
“Kami berharap sangat keadaan tidak sampai ke situ,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg