Topic followed successfully
Go to BHku3 bulan bantuan tambahan Geran Pemulihan Covid-19
3 bulan bantuan tambahan Geran Pemulihan Covid-19
3 bulan bantuan tambahan Geran Pemulihan Covid-19
PENERIMA Geran Pemulihan Covid-19 (CRG) boleh memohon bagi sokongan tambahan tiga bulan mulai 19 April ini sekiranya mereka memerlukan bantuan kewangan lanjut dan terus memenuhi syarat yang ditetapkan, umum Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) semalam.
Geran itu dilancarkan pada 18 Januari lalu untuk menyokong pekerja berpendapatan rendah hingga pertengahan dan individu yang bekerja sendiri (SEP) yang terjejas dari segi kewangan dek Covid-19.
MSF berkata penerima CRG boleh memohon bagi sokongan tambahan jika mereka masih memenuhi kriteria kelayakan, termasuk penyertaan aktif dalam pencarian pekerjaan dan latihan.
Secara keseluruhannya, individu boleh menerima dua bahagian bantuan secara maksimum daripada CRG, yang bermakna individu boleh menerima sehingga enam bulan bantuan secara maksimum menerusi geran itu.
Setiap bahagian bantuan menyediakan sehingga $700 sebulan selama tiga bulan kepada pekerja yang menganggur disebabkan pemberhentian kerja atau penamatan kontrak secara tiba-tiba, atau diletakkan di bawah cuti tanpa gaji bagi sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut.
Sokongan kewangan sehingga $500 sebulan selama tiga bulan pula disediakan kepada mereka yang kehilangan gaji sekurang-kurangnya 50 peratus secara purata selama sekurang-kurangnya tiga bulan.
SEP yang mengalami kerugian pendapatan perdagangan bersih (NTI) sekurang-kurangnya 50 peratus secara purata selama tiga bulan berturut-turut berbanding dengan NTI bulanan purata pada 2019 atau 2020 juga boleh menerima sehingga $500 sebulan selama tiga bulan.
SEP harus memastikan mereka tidak mempunyai sebarang sumbangan MediSave yang belum selesai ketika membuat permohonan, atau memberi komitmen untuk membuat sumbangan menerusi pelan GIRO, untuk layak bagi sokongan lanjut CRG itu.
Ini kerana "adalah penting bagi SEP terus memainkan peranan dalam kecukupan penjagaan kesihatan mereka menerusi simpanan bagi keperluan penjagaan kesihatan mereka", kata MSF.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kementeriannya telah meluluskan lebih 10,000 permohonan CRG dan mengagihkan $10 juta sejak permohonan dibuka pada Januari lalu.
"Geran ini menyediakan bantuan kewangan sementara kepada pekerja dan individu bekerja sendiri yang terjejas dari segi ekonomi disebabkan Covid-19 dan terus memerlukan sokongan kewangan sedang mereka beralih ke kerjaya baru atau melalui latihan kemahiran, meskipun data kami menunjukkan keadaan pekerjaan bertambah baik," kata beliau.
Tambah Encik Masagos, mereka juga terus memproses permohonan baru bagi CRG.
Mulai 19 April hingga 31 Disember ini, laman permohonan bagi CRG di go.gov.sg/CRG akan beroperasi 24 jam setiap hari.
Buat masa ini, laman itu hanya beroperasi dari 9 pagi hingga 10 malam sehingga 18 April ini.
Mereka yang ingin memohon bagi sokongan tambahan CRG boleh melakukannya mulai 19 April ini jika mereka dalam bulan terakhir menerima bantuan atau bantuan yang diberikan sudah tamat.
Contohnya, jika pemohon menerima CRG bagi Februari, Mac dan April 2021 dan memerlukan bantuan tambahan, mereka boleh memohon sekali lagi bagi pembaharuan CRG paling awal dalam bulan April.
Mereka yang memerlukan pertolongan menyelesaikan borang permohonan dalam talian boleh menghubungi talian ComCare Call di 1800-222-0000 atau menghantarkan e-mel kepada Ask_SSO@msf.gov.sg.
Mereka yang tidak dapat memohon dalam talian boleh mengunjungi Pejabat Khidmat Sosial terdekat untuk mendapatkan bantuan.
SOKONGAN TAMBAHAN CRG
(A) Sehingga $700 sebulan bagi tiga bulan untuk pekerja yang:
- Menganggur disebabkan pemberhentian kerja atau penamatan kontrak secara tiba-tiba; atau
- Diletakkan di bawah cuti tanpa gaji bagi sekurang-kurang tiga bulan.
(B) Sehingga $500 sebulan bagi tiga bulan untuk:
- Pekerja yang kehilangan gaji sekurang-kurangnya 50 peratus secara purata selama sekurang-kurangnya 3 bulan; atau
- SEP yang mengalami kerugian pendapatan perdagangan bersih (NTI) sekurang-kurangnya 50 peratus secara purata selama tiga bulan berturut-turut berbanding dengan NTI bulanan purata pada 2019 atau 2020.
Antara kriteria kelayakan lain:
- Tinggal dalam hartanah dengan nilai tahunan tidak lebih $21,000. Pemohon tidak harus memiliki lebih daripada satu hartanah.
- Pendapatan isi rumah tidak lebih $7,800 atau pendapatan isi rumah per kapita tidak lebih $2,600 sebelum hilang pekerjaan atau pendapatan atau diletakkan di bawah cuti tanpa gaji.
- SEP tidak harus mempunyai sumbangan MediSave belum selesai ketika membuat permohonan, atau memberi komitmen membuat sumbangan menerusi pelan GIRO.
- Pemohon mesti secara aktif menyertai pencarian pekerjaan atau latihan.
Permohonan bagi sokongan tambahan boleh dibuat mulai 19 April melalui laman go.gov.sg/CRG.

