Topik diikuti
Pergi ke BHku4 blok HDB Ang Mo Kio bakal jalani Sers
4 blok HDB Ang Mo Kio bakal jalani Sers
EMPAT blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Ang Mo Kio Avenue 3 telah dipilih untuk menjalani Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers).
Ini merupakan projek Sers pertama yang diumumkan HDB sejak Mei 2018.
Menurut kenyataannya, HDB berkata penduduk yang tinggal di Blok 562 hingga 565, yang merangkumi 606 unit, boleh menjangkakan rumah baru dan sekitaran hidup yang dipertingkat di bandar yang sama di bawah Sers.
Flat yang siap dibina pada 1979 itu berusia sekitar 43 tahun dan merangkumi kebanyakannya flat tiga dan empat bilik, dengan lima flat lima bilik dan dua flat eksekutif hasil dua flat tiga bilik yang disatukan. Ini merupakan tapak kelima di Ang Mo Kio yang dipilih untuk menjalani Sers.
Blok 246 hingga 252 di Ang Mo Kio Avenue 2, 3 dan 4 dipilih untuk menjalani Sers pada 2006.
Sers, yang bermula pada 1995, melibatkan langkah merobohkan blok lama dan menawarkan penduduk unit baru berdekatan. Tapak lama itu kemudian dibangunkan semula.
Pemilik 606 unit itu akan menerima pampasan berdasarkan nilai pasaran flat mereka ketika Sers diumumkan.
Pampasan itu akan dinilai oleh jurunilai privet profesional yang dilantik HDB.
Pemilik flat juga akan menerima elaun berpindah sebanyak $10,000 untuk membiayai perbelanjaan berpindah dan HDB juga akan membayar bayaran guaman dan setem bagi pembelian flat yang serupa sebagai ganti.
Mereka juga akan ditawarkan flat ganti baru di Ang Mo Kio Drive, yang merangkumi flat fleksi dua bilik hingga empat bilik.