“
EMPAT pelajar dan seorang guru, kesemuanya dari sekolah yang berbeza, antara kes jangkitan Covid-19 baru yang disahkan pada Selasa (7 Julai). Pelajar-pelajar itu menuntut di Sekolah Menengah Bedok View, Sekolah Rendah East Spring, Sekolah Rendah Jurong West dan Sekolah Menengah Jurong West, manakala guru itu mengajar di Sekolah Assumption Pathway. Dalam kenyataannya lewat Selasa malam, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata kes melibatkan empat pelajar itu dikaitkan dengan jangkitan isi rumah. Mereka sedang menjalani arahan kuarantin di rumah (HQO) sebelum diuji kerana merupakan kontak dekat anggota isi keluarga mereka yang dijangkiti sebelum ini. Pelajar-pelajar itu sihat kali terakhir mereka di sekolah minggu lalu. Siasatan sedang dijalankan ke atas kes melibatkan guru itu.“
Lima kes itu antara 20 kes dalam masyarakat baru yang disahkan sehingga 12 tengah hari pada Selasa.MOE berkata, sekitar 60 pelajar dan 10 kakitangan dari Sekolah Assumption Pathway, Sekolah Rendah East Spring, Sekolah Rendah Jurong West dan Sekolah Menengah Jurong West yang berhubungan dengan kes yang disahkan telah diberi cuti ketidakkehadiran (LOA) atau HQO 14 hari.
Bagi Sekolah Menengah Bedok View, memandangkan pelajar yang dijangkiti itu kali terakhir berada di sekolah pada 30 Jun, Kementerian Kesihatan (MOH) telah menilai risiko jangkitan bagi pelajar dan kakitangan sekolah itu sebagai rendah.
Disebabkan itu, tiada LOA atau HQO dikeluarkan.
MOE berkata, sekolah yang terjejas telah melaksanakan langkah berjaga-jaga tambahan bagi memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan, mengurangkan risiko penyebaran dan mengelakkan berlakunya kelompok di sekolah. Ini termasuk menerusi pembersihan dan penyahjangkitan premis sekolah.
Sementara itu, MOH berkata secara keseluruhan, 157 kes baru dilaporkan, termasuk tiga yang diimport dan 20 kes dalam masyarakat.
Lagi 285 kes pula telah dibenar pulang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg