LAGI 47 warga emas telah dilantik sebagai duta gaya hidup digital, dengan harapan mereka dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakan-rakan mereka untuk mendakap teknologi dan melakukan amalan seperti menggunakan kaedah pembayaran elektronik dan berbelanja dalam talian. Mereka menyertai 234 anggota lain dari program Duta Kesejahteraan Infokom Warga Emas (Siwa), yang diperkenalkan lapan tahun lalu dan telah membantu ratusan warga emas memahami alat digital. Dalam pertemuan maya dengan duta baru pada Sabtu (27 Jun), Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S. Iswaran, menekankan pentingnya keupayaan mereka untuk menyokong warga emas lain, yang mungkin runsing dengan teknologi. "Setelah melalui proses mempelajari kemahiran digital sendiri, mereka lebih memahami keprihatinan warga emas lain dan dapat membantu menjadikan perjalanan pembelajaran mereka lebih seronok dan kurang tekanan," kata Encik Iswaran. Kesemua 281 duta di bawah program Siwa dilantik oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Majlis Penuaan Aktif Persatuan Rakyat. Sesiapa yang berumur sekurang-kurangnya 50 tahun boleh menjadi duta, asalkan aktif dengan IT dan dapat mendorong rakan-rakan untuk secara aktif menggunakan teknologi digital. Mereka yang berminat dalam program itu boleh mencalonkan diri atau rakan mereka untuk mendaftar dalam talian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg