Topik diikuti
Pergi ke BHku5 agensi sumbang lebih separuh maklum balas di OneService
5 agensi sumbang lebih separuh maklum balas di OneService
LEMBAGA Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan agensi air negara, PUB secara kolektif menyumbang 53 peratus maklum balas perbandaran yang diterima melalui aplikasi OneService dari 2020 hingga 2022.
Dalam tempoh yang sama, kelima-lima agensi itu mengambil masa antara dua dengan tujuh hari kerja untuk menutup kes maklum balas perbandaran.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, dalam jawapannya kepada soalan yang diajukan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) di Parlimen pada Rabu.
Cik Sim Ann berkata Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) telah bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan ketepatan masa dan mutu balasan mereka kepada maklum balas perbandaran yang diterima.
Bagi kes yang tidak rumit seperti membetulkan lampu atau laluan pejalan kaki yang rosak, agensi akan memaklumkan tentang pembetulan yang telah dibuat setelah isu itu diselesaikan disertakan dengan gambar pembetulan tersebut.
Namun, bagi kes yang lebih rumit seperti yang melibatkan kelakuan antisosial dan memerlukan tindakan penguatkuasaan, Cik Sim berkata agensi terlibat akan memberitahu penyedia maklum balas mengenai pelan tindakan dan garis masa indikatif untuk menangani isu tersebut.
Dalam soalan susulannya, Encik Zhulkarnain bertanya sama ada penasihat akar umbi boleh dimaklumkan apabila maklum balas diterima melalui aplikasi OneService agar mereka boleh memanfaatkan rakan kongsi sumber setempat.
Cik Sim berkata cadangan tersebut akan dipertimbangkan.
Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) turut mengajukan soalan susulan dan menanyakan bilangan pengguna OneService serta sama ada terdapat rancangan untuk meningkatkan kesedaran tentang aplikasi tersebut.
Cik Sim berkata buat masa ini, terdapat lebih 500,000 akaun yang berdaftar dengan aplikasi itu.
Beliau menambah bahawa MSO akan meletakkan sepanduk di beberapa estet kejiranan agar mereka yang tidak mengetahui tentang publisiti digital OneService boleh tahu tentang aplikasi itu.