
LIMA daripada lapan kes Covid-19 dalam masyarakat yang diumumkan pada Ahad (30 Ogos) merupakan sebahagian daripada kelompok keluarga melibatkan individu-individu merentasi dua isi rumah.
Individu-individu ini telah mengambil bahagian dalam perhimpunan keluarga, dan siasatan sedang dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran peraturan jarak selamat berlaku, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan pada Ahad malam (30 Ogos).
"Kami ambil serius pelanggaran peraturan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang melanggar peraturan," kata MOH.
Satu lagi kes dalam masyarakat merupakan rakan kerja kes sebelum ini di SLR Revolution di pusat beli belah Exelsior, dan telah menjalani arahan kuarantin sebaik dikenal pasti.
Sebagai langkah berjaga-jaga, seramai 240 pengunjung kedai antara 15 dan 18 Ogos telah dihubungi MOH untuk diuji bagi Covid-19, walaupun risiko jangkitan rendah.
Sejauh ini, sejumlah 224 individu telah menjalani ujian swab dan hasilnya masih dinanti.
Kesemunya, 54 kes baru dilaporkan di Singapura pada Ahad (30 Ogos), termasuk lapan kes dalam masyarakat dan tujuh kes import.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg