SEKITAR 54,000 pekerjaan diwujudkan sejak tiga tahun lalu menerusi pelaburan hasil tarikan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

Sebahagian besar adalah pekerjaan yang memberi gaji baik dan diisi oleh warga setempat, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan

Antara lain, pekerjaan ditawarkan termasuk jurutera sofwe, saintis data, teknisyen makmal dan konsultan, serta meliputi fungsi kerja seperti pengilangan, digital, khidmat perniagaan dan inovasi.

Bagi pelaburan yang ditarik EDB pada 2021, 80 peratus pekerjaan menawarkan gaji lebih $4,000, dan diisi oleh penduduk setempat.

Ini berdasarkan ramalan syarikat sendiri dan akan bergantung kepada keadaan pasaran buruh dan kemampuan syarikat itu mengenal pasti bakat setempat yang bersesuaian, ujar Encik Tan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) dan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) mengenai pelaburan yang ditarik Singapura serta jenis pekerjaan yang dijana.

Menurut Encik Tan, EDB menarik pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk pengilangan, khidmat profesional dan info komunikasi serta media.

"Selama bertahun, profil pelaburan telah beralih kepada kegiatan dengan nilai tambah lebih tinggi dan tertumpu kepada inovasi, termasuk industri pengilangan semikonduktor dan pengilangan bioperubatan.

"Kami menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam pengilangan lanjutan, ekonomi digital, dan ekonomi hijau dalam tahun-tahun mendatang," tambah beliau.

Menurut Encik Tan, pelaburan itu membantu memperkukuhkan sistem eko dan daya saing Singapura, menjadikan negara ini relevan kepada dunia sementara membolehkan penduduk setempat meraih manfaat daripada pekerjaan yang diwujudkan.

"Satu sebab syarikat memilih Singapura ialah kerana bekalan bakat setempat dan bakat global yang saling melengkapi," terang Encik Tan.

Syarikat lebih besar juga menjadi 'ratu lebah' dengan menyediakan peluang latihan bagi seluruh sistem eko

Misalnya, Pusat Latihan Bosch Rexroth Serantau yang dibangunkan oleh Bosch Rexroth, Politeknik Singapura dan badan lain, yang bermatlamat melatih 1,500 pekerja mengenai kaedah dan teknologi Industri 4.0, bagi lima tahun mendatang.

Namun majikan berkata mereka mendapati semakin mencabar untuk mengakses bakat yang diperlukan, khususnya dalam bidang yang kekurangan kemahiran, kata Encik Tan.

"Ini adalah cabaran kritikal yang harus diatasi bersama, memandangkan pertumbuhan lebih perlahan dalam tenaga kerja setempat dan persaingan sengit yang disebabkan oleh banyak bandar dan hab teknologi untuk bakat dari serata dunia," ujar beliau.

Encik Tan menambah, untuk kekal bersaing dan berdaya tahan, Singapura mesti kekal terbuka kepada bakat luar.

"Pemerintah akan terus menyesuaikan perubahan dalam dasar tenaga kerja asing kita bagi membolehkan syarikat mengakses bakat dan kemahiran yang diperlukan bagi mengembangkan ekonomi dan memastikan peluang pertumbuhan ini akan mereka pekerjaan lebih baik bagi warga Singapura," terangnya.