Topik diikuti
Pergi ke BHku70 penduduk Hougang terima pek habuan Masjid En-Naeem
70 penduduk Hougang terima pek habuan Masjid En-Naeem
SEMANGAT memberi semasa Ramadan amat dirasakan apabila sekitar 70 penduduk Hougang menerima beg-beg habuan berisi makanan kering daripada pihak Masjid En-Naeem sebagai sebahagian daripada Gerakan SalamSG (SSGM) 2023 pada Sabtu.
Di acara yang diberi nama SalamSg Memberi 2023 Daerah Utara - Berkat dalam Memberi oleh Masjid En-Naeem, para penerima diberi beg habuan mengandungi barangan berharga sekitar $60 - mengandungi barangan makanan kering seperti biskut, kopi, teh, Milo, minyak masak, susu pekat dan sebagainya.
Semasa dihubungi, Pengerusi Eksekutif Masjid En-Naeem, Encik Mohd Jeffrey Low, berkata respons yang diberi terhadap acara tersebut amat positif memandangkan ramai yang hadir awal bagi mendapatkan habuan masing-masing.
"Ternyata acara ini berlangsung sempena Ramadan amat sesuai.
"Cuaca yang baik juga membantu dalam pengagihan," katanya.
Menurut Pegawai Pembangunan Sosial Masjid En-Naeem, Ustazah Sarima Jantan, masjid tersebut mengadakan pengagihan barang makanan kering kepada keluarga penerima zakat.
"Tapi khusus untuk tahun ini, kami meluaskan lagi pengagihan kepada golongan yang bukan dalam senarai penerima bantuan zakat kami," jelasnya.
Salah seorang penerima di acara itu, Cik Marsitah Majid, 52 tahun, melahirkan rasa syukur dengan pemberian tersebut yang dijangka dapat meredakan perbelanjaan beliau - memandangkan beliau merupakan suri rumah.
"Ramadan biasanya kami dapat jimatkan sedikit perbelanjaan kerana adanya acara pembahagian habuan sebegini.
"Dapat juga digunakan wang yang dijimat bagi kegunaan lain," kata ibu empat anak itu yang menetap di Hougang Avenue 1.