RUANG solat yang disediakan bagi Hari Raya Haji pada 31 Julai ini terhad berpandukan langkah pengurusan keselamatan yang diamalkan kini bagi solat Jumaat di masjid sebagai langkah berjaga-jaga menentang wabak Covid-19.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya petang ini (Jumaat, 24 Julai) menjelaskan memandangkan ruangnya terbatas, jemaah yang tidak dapat menempah ruang digalakkan bersolat di rumah dan mendengar siaran langsung khutbah Hari Raya oleh Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Warga senja berusia 60 tahun ke atas mahupun mereka yang menampakkan tanda jangkitan pernafasan akut serta keadaan perubatan kronik di samping kanak-kanak di bawah usia 12 tahun juga dinasihatkan agar tidak ke masjid dan mendirikan solat di rumah.
Sebanyak 45 masjid akan mengadakan tiga sesi solat Hari Raya pada pagi 31 Julai ini. Lagi 20 masjid pula akan mengadakan dua sesi solat Hari Raya Haji.
Ini bermakna 8,750 ruang solat tersedia bagi Solat Hari Raya Haji.
Khutbah Mufti Dr Nazirudin pula akan disiarkan dalam bahasa Melayu (sarikata Inggeris) di saluran SalamSG TV dan stesen Mediacorp Radio Warna 942FM. Beliau akan menyampaikan khutbah selepas memimpin jemaah di Masjid Maarof pada 8.30 pagi.
Takbir juga akan berkumandang menerusi SalamSG TV dan Warna sebelum solat Hari Raya Haji.
Pendaftaran bagi ruang solat Hari Raya Haji akan dibuka menerusi aplikasi MuslimSG dan laman beralamat https://ourmosques. commonspaces.sg mulai 1 petang, Isnin 27 Julai ini.
Pendaftaran ini dibuka kepada semua tidak kira mereka pernah mendapatkan ruang solat Jumaat bagi minggu-minggu sudah.
Muis menambah, memandangkan Hari Raya Haji jatuh pada Jumaat, dua sesi solat jemaah akan diadakan bagi masyarakat Islam.
Memandangkan wabak Covid-19 belum reda dan ruang solat pula terbatas di masjid kerana langkah berjaga-jaga yang perlu diamalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan, Pejabat Mufti telah menyediakan panduan tentang situasi ini. Mereka yang tidak mendapat tempat bersolat Hari Raya di masjid boleh menunaikan solat di rumah bersama keluarga.
Keadaannya serupa dengan Hari Raya Aidilfitri di mana kaum keluarga digalakkan menonton khutbah Hari Raya dalam talian.
Keutamaan bagi masyarakat Islam ialah menyediakan peluang bagi seberapa ramai umat Islam mendirikan solat Jumaat. Ini khususnya buat mereka yang tidak berpeluang mendirikannya setelah solat Jumaat disambung kembali.
Justeru itu, umat Islam yang berpeluang menempah ruang solat Hari Raya tidak perlu mendirikan solat Jumaat sebaliknya mendirikan solat Zuhur dan mendengar khutbah Jumaat dalam talian.
Solat Jumaat akan diteruskan di 65 masjid seperti biasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg