Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aceh pupuk kesedaran mendalam tentang harapan, ketabahan

Dec 22, 2024 | 5:30 AM
Suasana dan pekarangan selain reka bentuk Masjid Raya Baiturrahman yang dibaik pulih sejak tsunami memaparkan peranan agama dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat di Aceh.
Suasana dan pekarangan selain reka bentuk Masjid Raya Baiturrahman yang dibaik pulih sejak tsunami memaparkan peranan agama dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat di Aceh. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Apabila diberitahu saya ditugaskan untuk ke Aceh bagi merakam laporan khas ulang tahun ke-20 tsunami, antara nasihat yang saya dengar adalah “nak kena pakai tudung”.

Melalui kajian yang dilakukan tentang Aceh termasuk video yang dimuat naik di media sosial, saya pelajari bahawa pemakaian hijab buat kaum wanita Muslim di sana adalah wajib di bawah undang-undang wilayah itu.

Bagi saya, itulah petanda pegangan Islam di sana sememangnya kuat.

Sepanjang penginapan saya di sana, dapat dilihat beberapa tabiat lazim penduduk Aceh.

Salah satunya ialah penutupan warung atau kedai runcit, selain muzium dan kedai makan setiap kali masuknya waktu solat.

Tempat-tempat tersebut akan ditutup selama antara 30 minit hingga satu jam untuk memberi kesempatan kepada pekerja menunaikan solat.

Semua aktiviti diberhentikan bagi memenuhi kewajiban mereka sebagai orang Islam, dan bagi saya, ia sesuatu yang mengagumkan.

Semakin hari, semakin saya perhatikan amalan yang diajar Islam menjadi sebahagian pegangan budaya mereka.

Sewaktu di Aceh selama lima hari, bangunan yang tertinggi dan paling mewah yang dilihat ialah Masjid Raya Baiturrahman.

Melihat pembangunan semula masjid itu menyentuh hati saya.

Suasana dan pekarangan selain reka bentuk masjid yang dibaik pulih itu juga memaparkan peranan agama yang kuat dalam kalangan masyarakat di sana, menjadikan masjid itu lambang kekuatan dan keyakinan penduduk Aceh.

Selepas mendengar cerita daripada mangsa tsunami, saya kagumi akan ketabahan dan kekuatan yang mereka miliki.

Semua warga Aceh yang saya temui berkata walaupun kesan tsunami itu sangat hebat sehingga mereka kehilangan rumah dan anggota keluarga tersayang, hidup mereka tetap diteruskan.

Sudah tentu rasa rindu dan pilu mengisi hati apabila mengenangkan tragedi tsunami itu, namun mereka tetap menjalankan kehidupan dengan penuh harapan dan ketabahan.

Pastinya, sifat yang mereka paparkan dalam kesusahan apabila dilanda musibah mencerminkan betapa kuatnya pegangan agama di dalam hidup mereka.

Kepercayaan bahawa semua yang terjadi ada hikmahnya, dan walau apapun, mereka tetap bersyukur dengan apa sahaja yang ada.

Hakikatnya, Aceh adalah antara tempat pertama di mana Islam tersebar di Asia Tenggara selain tempat mula penyebaran Islam di Indonesia. Dengan sejarah Islam yang sangat mendalam di wilayah ini, ia amat jelas betapa penting agama dalam kehidupan penduduk Aceh.

Jika saya diberi peluang untuk kunjungi Aceh lagi, saya pasti tidak menolaknya. Tapi kali ini untuk mempelajari tentang sejarahnya dan penyebaran Islam di rantau ini, dengan harapan saya dapat meluaskan ilmu tentang agama saya sendiri.

Pengalaman ini merupakan satu pengajaran bagi saya untuk menghargai segala apa yang saya miliki.

Ia juga memupuk kesedaran tentang nilai kepercayaan dan kerohanian dalam kehidupan ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg